Nor 'Asyikin Mat Hayin


PEMILIHAN konsep yang bersesuaian dengan reka bentuk menyerlahkan nilai eksklusif Rumah Tradisional Melayu Melaka Duyong milik warga emas berusia 76 tahun ini.

Kombinasi dua warna iaitu coklat gelap pada kayu (struktur binaan rumah) dan warna kuning cat serta langsir menjadikan aura rumah itu kelihatan'hidup' juga menarik.

Ditambah pula hiasan ukiran kayu bermotifkan bunga di setiap bahagian rumah menambahkan nilai tradisional pada kediaman berkenaan.

Samad Nordin berkata, rumah itu dibina semula 22 tahun lalu selepasKerajaan Negeri Melaka menerusi Perbadanan Muzium Negeri (Perzim) mengambil tapak asal rumahnya untuk dijadikan tempat parkir bas.

Menurutnya, wang pampasan diterima digunakan untuk membina semula rumah itu bercirikan seni bina tradisional Melayu Melaka.

"Pembinaannya adalah hasil cetusan idea Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Perzim.

"Rumah asal ialah reka bentuk yang asas sahaja kerana ia adalahrumah pusaka arwah ibu bapa berusia 100 tahun," katanya.

Katanya, pembinaan semula rumah itu mengambil masa setahun yang mana menggunakan 80 peratus bahan binaan asal dan 20 peratus (bahan binaan baharu).

BAHAGIAN dalam rumah.
BAHAGIAN dalam rumah.

"Keseluruhan rumah ini menggunakan kayu berkualiti tinggi seperti resak, cengal, seraya dan meranti.

"Setiap lima tahun, saya akan membuat penyelenggaraan mengecat minyak pada permukaan kayu rumah untuk ketahanan dan ini membuatkannya kelihatan baharu walaupun sudah berusia seabad," katanya.

Jelasnya, rumah dibina dengan anggaran kos RM220,000 itu berkeluasan 30 kaki X 65 kaki, terletak di Jalan Perigi Hang Tuah 2, Perigi Hang Tuah, Duyong, Melaka.

"Rumah ini mempunyai tiga bilik termasuk satu bilik 'kelek anak' berdekatan dapur.Ia berbentuk L dan saiznya lebih kecil berbanding bilik lain untuk kegunaan berehat.

"Tahun lalu, saya ada melakukan pengubahsuaian di bahagian balai berbentuk pelantar sebagai rumah rehat.

"Selain ituturut menaikkan bumbung baharu, namun masih mengekalkan ciri-ciri rumah tradisional Melayu," katanya.

Samad berkata, salah satu tarikan rumah ini ialah ukiran kayu daripada hasil kerja seninya sendiri yang mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan.

KOLEKSI barangan antik senjata dan duit lama milik Samad.
KOLEKSI barangan antik senjata dan duit lama milik Samad.

"Saya mempunyai kemahiran itu kerana sebelum ini bekerja sebagai tukang ukiran kayu dan memiliki kelengkapan mesin.

"Ukiran kayu adalah elemen penting kepada rumah tradisional Melayu dan sebagai pelengkapnya," katanya.

Katanya lagi, dia turut meletakkan elemen tambahan iaitu barangan antik sebagai hiasan dalam rumah.

"Saya peminat barangan antik sejak muda dan barangan ini adalah koleksi peribadi dan sebahagiannya pemberian kenalan.

"Antara koleksi barangan antik ialah senjata lama, busana Melayu, duit lama, mesin taip, pinggan mangkuk, beduk dan duit lama," katanya.

Katanya lagi, oleh kerana kediamannya berada dalamkawasan pelancongan, maka ia dibuka untuk lawatan umum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 7:00 AM