MOHD Noor meneliti salah satu telefon klasik.
MOHD Noor meneliti salah satu telefon klasik.
Ahmad Hasbi


Gemarkan rekaan bercirikan tradisional Melayu mendorong seorang pesara kerajaan mentransformarsi rumah teresnya menjadi rumah kayu hingga mencuri tumpuan ramai.

Boleh dikatakan hampir semua struktur bahagian hadapan rumah yang terletak di Taman Mutiara, Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu sudah ditukar kepada papan atau kayu yang bercirikan tradisional dan klasik.

Apa yang membuatkan rumah itu lebih menarik adalah kebanyakan barangan hiasan dan perabotnya bercirikan klasik bermula dari bahagian pintu pagar hingga bilik air serta dapur.

Sekali gus menjadikan rumah milik Mohd Noor Abdullah, 66, itu lokasi pilihan untuk pengantin baharu mengadakan sesi bergambar selain mendapat perhatian Pejabat Daerah Kuala Pilah yang bercadang mahu menjadikan kediaman itu salah satu tarikan pelancong di Kuala Pilah.

Mohd Noor berkata, dia menghabiskan kira-kira RM200,000 untuk mengubah suai rumah itu sedikit demi sedikit dan mengeluarkan modal RM100,000 untuk mendapatkan pelbagai barangan antik.

Beliau berkata, pada mulanya mahu mengubah suai rumahnya bercirikan Inggeris, namun kebanyakan barangan yang dikumpulkan daripada rumah arwah ibu bapanya adalah bercirikan kemelayuan.

Ekoran kegilaannya mengumpul barang lama dan antik itu, beliau mula mengubah suai rumahnya pada 2014 selepas bersara daripada tempat kerjanya di ibu kota.

Saat melangkah masuk menerusi pintu utama rumah itu, penulis bagaikan berada di era 70-an dan 80-an yang mana terdapat dua telefon lama di dinding selain kedengaran lagu lama dari corong radio klasik yang melatari suasana penuh nostalgia itu.

Meneruskan langkah ke ruang tengah, penulis sekali lagi terpaku apabila ia ditatahias bagaikan sebuah kopitiam siap dengan meja bulat seramik dan kerusi kayu serta pelbagai hiasan antik.

MELANGKAH ke segenap ruang membawa keterujaan berbeza.
MELANGKAH ke segenap ruang membawa keterujaan berbeza.

ANTARA barangan hiasan yang menarik perhatian.
ANTARA barangan hiasan yang menarik perhatian.

Lebih mengasyikkan apabila aroma kopi yang menusuk hidung sebaik pemiliknya menghidangkan kami kopi menggunakan teko dan cawan antik berhias bunga kangkung.

Mata penulis terus meneroka ke seluruh pelosok rumah itu. Meskipun barangan, hiasan dan perabotnya banyak, namun ia tersusun elok menjadikan ruang tidak kelihatan semak atau sesak dan anda mungkin tidak akan tersepak atau terlanggar barang kesayangan pemiliknya.

Pemiliknya yang mesra terus membawa penulis dan jurufoto ke bahagian ruang tamu dan dapur yang masih mengekalkan struktur konkrit, namun dipenuhi elemen rumah tradsional Melayu dengan ukiran kerawang pada dinding, perabot kayu jati dan pelbagai lagi dekorasi yang memukau mata.

Mohd Noor yang lebih mesra disapa Pak Udo mengakui mengubah suai rumah itu sedikit demi sedikit selepas mengumpulkan pelbagai barang antik dari rumah arwah orang tuanya.

"Banyak barang dari rumah arwah ibu yang saya kumpulkan dan bawa ke sini. Ada juga sesetengah daripada barang ini saya dapat percuma daripada rakan atau yang dibuang sebelum saya mengutip dan membaik pulihnya.

"Kebanyakan perabot kayu di rumah ini saya tempah dari Indonesia. Ada juga barang yang saya beli dari pasar karat di seluruh negara," katanya.

Melihat kepada hiasan dan struktur rumah, penulis beranggapan pemiliknya menggunakan khidmat perunding hiasan dalaman atau pereka, namun Mohd Noor mengakui semua itu datang daripada ideanya sendiri.

"Kadang-kadang saya mendapat idea ketika menonton televisyen atau membaca akhbar, jadi saya mendapat ilham yang bersesuaian dengan kehendak. Saya akan mengupah tukang untuk proses ubah suai rumah, namun untuk hiasan, saya sendiri lakukannya.

"Demi meneruskan minat untuk menjadikan kediaman ini sebagai rumah kayu klasik, saya terpaksa menjual sebuah kereta dan sebuah motosikal klasik untuk dijadikan modal," katanya.

MOHD Noor dan isteri di ruangan depan rumah mereka.
MOHD Noor dan isteri di ruangan depan rumah mereka.

SALAH satu bilik yang didekorasikan bagaikan bilik pengantin.
SALAH satu bilik yang didekorasikan bagaikan bilik pengantin.

Sambil ditemu bual, Mohd Noor membawa kami menjengah ke sebuah bilik yang dihias cantik lengkap dengan katil seolah-olah bilik untuk pengantin baharu.

Mohd Noor berkata, sejak rumahnya mula diketahui penduduk sekitar, ramai yang datang untuk sesi bergambar terutama bagi pengantin selain beliau menyediakan bilik berkenaan khas untuk tujuan itu.

"Bukan sahaja pasangan pengantin, malah setiap kali tiba Aidilfitri, rumah kami tidak putus-putus dikunjungi orang awam yang mahu bergambar bersama keluarga masing-masing.

"Untuk sesi bergambar pasangan pengantin saya mengenakan sedikit caj, namun bagi pengunjung yang datang untuk melihat, saya tidak kenakan sebarang bayaran kerana niat asal bukan untuk mendapatkan keuntungan, tetapi untuk memenuhi kepuasan semata-mata," katanya.

Beliau yang hanya tinggal berdua dengan isterinya berkata, pihak Pejabat Daerah memaklumkan kepadanya untuk mencadangkan supaya rumahnya dimasukkan dalam kalendar pelancongan daerah dan Negeri Sembilan.

"Buat masa ini saya belum memutuskan untuk berbuat demikian, namun saya menyambut baik usul itu kerana ia menjadi satu tarikan baharu di daerah ini," katanya.

Sebelum pulang, Mohd Noor sempat menunjukkan kepada kami tiang lampu isyarat yang terpacak di hadapan rumahnya yang sebenarnya masih berfungsi.

Perkara itu membuatkan penulis dan jurufoto terhibur kerana terdapat lampu isyarat di jalan sedangkan ia berada dalam taman perumahan sebelum Mohd Noor memaklumkan ia mendapat tiang berkenaan daripada seorang rakan.

"Ia seolah-olah menjadi tanda atau 'landmark' kepada orang awam yang mahu mengunjungi rumah saya. Pernah sekali berlaku kesesakan di hadapan rumah kerana ada pemandu yang menunggu lampu merah," katanya sambil tertawa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 7:01 AM