RUMAH Agam Peranakan Pulau Pinang mempamerkan lebih 1,000 koleksi pelbagai barangan yang diwarisi turun-temurun oleh keluarga Baba dan Nyonya.
RUMAH Agam Peranakan Pulau Pinang mempamerkan lebih 1,000 koleksi pelbagai barangan yang diwarisi turun-temurun oleh keluarga Baba dan Nyonya.
BERNAMA

Georgetown: Keunikan masyarakat peranakan Baba dan Nyonya di Pulau Pinang mungkin kurang dikenali namun komuniti itu masih wujud dalam kalangan penduduk negeri itu yang kaya dengan pelbagai budaya dan warisan tersendiri.

Masyarakat Baba dan Nyonya di negara ini dipercayai sudah wujud sejak lebih 600 tahun lalu iaitu ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka menerusi aktiviti perdagangan dan sosio budaya oleh Laksamana Cheng Ho.

Kaum minoriti tersebut menggelarkan diri mereka sebagai Baba dan Nyonya atau Peranakan kerana mereka mengamalkan dua budaya warisan iaitu warisan tradisi Cina dan pada masa sama turut mempraktikkan budaya masyarakat Melayu.

Penang Peranakan Mansion atau Rumah Agam Peranakan Pulau Pinang merupakan rumah orang kaya peranakan di Lebuh Church yang kini dijadikan sebagai muzium koleksi barang-barang antik Baba dan Nyonya.



Ia merupakan salah satu tumpuan para pelancong di Pulau Mutiara. Rumah Agam Peranakan ini dibina pada akhir abad ke-19, dengan ciri-ciri panel kayu berukir Cina, jubin lantai Inggeris dan kerja logam Scotland. Rumah dua tingkat tersebut mempamerkan lebih 1,000 koleksi pelbagai barangan yang diwarisi turun-temurun oleh keluarga Baba dan Nyonya.

Antara barangan koleksi yang dipamerkan ialah ruang bilik tidur, pakaian tradisional, kasut manik, beg tangan, barangan ceramik, bakul, perkakasan dan sebagainya yang digunakan oleh Baba dan Nyonya.

Rumah Agam Peranakan Pulau Pinang beroperasi dari pukul 9.30 pagi hingga 5 petang dan yuran masuk adalah RM20 bagi orang dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak. Manakala kanak-kanak berumur bawah 6 tahun adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 7:01 AM