MEMBERI penjimatan dalam penggunaan tenaga sehingga 25 peratus.
MEMBERI penjimatan dalam penggunaan tenaga sehingga 25 peratus.
Nurul Husna Mahmud


WATER-FILLED Glass (WFG) adalah sebuah syarikat dari Britain yang membangunkan teknologi cermin tingkap kaca diisi air dan menggunakan cahaya matahari sebagai 'penggerak' dalam sistem pemanasan serta penyejukan secara alami.

Inovasi itu diperkenalkan pensyarah seni bina Universiti Loughborough, United Kingdom, Matyas Gutai dan rakan sekerjanya Daniel Schinagl dan Abolfazl Ganji Kheybari, menyasarkan penggunaan cermin tingkap itu sesuai untuk mendirikan bangunan berkaca tebal dan mampan.

Mekanisme dalam inovasi itu berfungsi apabila tingkap yang mengandungi lapisan air di antara dua lapisan kaca tingkap menyerap haba daripada cahaya matahari atau sinaran lain lalu mengalirkannya ke luar bilik.

Air yang dipanaskan kemudiannya dipam melalui paip tertutup pada tekanan rendah ke kawasan bangunan yang lebih sejuk melalui sistem bawah lantai atau ke dalam simpanan terma.

Dengan menyerap tenaga haba ini, kaca berisi air juga dapat mengehadkan peningkatan haba matahari memasuki bangunan melalui tingkap dan ia juga mengurangkan keperluan untuk penyaman udara dalam iklim panas.

KACA adalah material sering digunakan dalam pembinaan bangunan.
KACA adalah material sering digunakan dalam pembinaan bangunan.

Menurut Matyas, awalnya idea untuk meletakkan air dalam kaca tingkap itu dirasakan tidak masuk akal tetapi mula berubah apabila memahami elemen dan kepentingan peranan sesuatu sumber dan tenaga.

"Kami tahu, meletakkan air di tingkap kedengaran seperti idea gila tetapi mula berubah apabila memikirkan mengenai konsep tenaga dan bangunan selain ia membantu mengurangkan pelepasan karbon.

"Secara tidak langsung ia berkaitan penggunaan material kaca. Elemen kaca berperanan penting untuk sebahagian besar penggunaan tenaga pemanasan dan penyejukan. Ia wujud di mana-mana dan hampir setiap bangunan," katanya.

WFG menganggarkan, bergantung pada iklim dan nisbah tingkap ke dinding bangunan, teknologi itu boleh membantu mengurangkan bil utiliti kira-kira 25 peratus berbanding tingkap standard.

WATER House 2.0 iaitu pavilion di Universiti Feng Chia di Taiwan menggunakan prototaip tingkap kaca dengan lapisan air.
WATER House 2.0 iaitu pavilion di Universiti Feng Chia di Taiwan menggunakan prototaip tingkap kaca dengan lapisan air.

Projek komersial pertama membabitkan sistem itu adalah bangunan perindustrian di Hungary dan projek rumah kediaman di Amerika Syarikat yang sedang dalam proses pembinaan.

Meskipun idea air mengalir di lapisan cermin itu tidak menggugat ketahanan material kaca dan sistemnya tidak mempunyai kesan ke atas estetika bangunan di dalam atau luar bangunan. Ini kerana air menyerap kebanyakan tenaga daripada bahagian spektrum cahaya yang tidak dapat dilihat oleh manusia.

Peranti pemantauan dipasang untuk membersihkan air secara automatik dengan pemeriksaan penyelenggaraan diperlukan sekali setahun.

Dalam iklim yang lebih sejuk, sistem kaca yang dipenuhi air menggunakan tiga lapisan kaca, rongga luarnya diisi dengan penebat argon untuk mengelakkan air daripada membeku ketika musim sejuk.

MEKANISME dalam inovasi kaca menggunakan air sebagai penyerap haba dan penyejuk suhu persekitaran.
MEKANISME dalam inovasi kaca menggunakan air sebagai penyerap haba dan penyejuk suhu persekitaran.

Mampu memanaskan air sehingga suhu kira-kira 40 darjah Celsius, teknologi ini boleh disambungkan kepada pam haba atau dandang konvensional.

WFG juga turut membangunkan versi penyesuaian semula produknya, di mana sistem boleh dipasang di belakang kaca sedia ada tanpa perlu memusnahkan tingkap sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 6:30 AM