CETUSKAN kelainan pada segenap ruang.
CETUSKAN kelainan pada segenap ruang.
Aniza Zainudin

Kertas dinding, satu daripada aksesori hiasan dalaman yang sememangnya popular dalam kalangan masyarakat, terutama bagi mereka yang lebih selesa memilih dekorasi dinding bermotif.

Malah kertas lapisan ini bukan saja berfungsi memperindahkan lagi ruang atau sudut di dalam rumah, pejabat, kafe mahupun struktur bangunan lain, bahkan bertindak sebagai pelindung.

Menutupi cela pada dinding dan menghasilkan permukaan lebih menarik dan bertekstur, kertas dinding ditawarkan dalam bentuk gulungan manakala direka secara menegak bagi memudahkan proses pemasangannya.

Terdapat beberapa jenis kertas dinding popular diperbuat daripada material berlainan dengan ciri berbeza.

1. Kertas dinding material kertas

Kertas dinding jenis ini diperbuat sepenuhnya daripada kertas dan ia mudah rosak atau terkoyak terutama proses pemasangan dilakukan. Selain itu, kertas ini juga mudah kotor dan cepat rosak ketika ia dibersihkan.

2. Kertas dinding tahan lasak

Kertas jenis ini lebih tebal dan memiliki lapisan linen pada bahagian belakang kertas. Ia dihasilkan dengan motif timbul dan mudah dicuci.

Menariknya, kertas dinding jenis ini membolehkan anda mengecat di atas permukaannya sekiranya berhasrat mengubah warna.

3. Kertas dinding anyaman gentian kaca

Ia diperbuat daripada serat gentian kaca yang ditenun hingga menjadi sekeping kertas dinding. Kertas dinding ini tahan haba, tahan lama dan tidak mudah berbau busuk, jadi ia sesuai diletakkan di tempat berkelembapan tinggi, termasuk bilik mandi.

SERLAHKAN keindahan tersendiri pada bilik tidur.
SERLAHKAN keindahan tersendiri pada bilik tidur.

4. Kertas dinding bervinil

Kertas dinding paling popular dan biasa digunakan dalam kalangan masyarakat kerana ia sesuai diletakkan di ruang tamu, ruang makan, dapur, bilik tidur mahupun mandi.

Kertas dinding ini dikategorikan kepada empat jenis iaitu:

Vinil pepejal

• Bersifat kalis air, tahan calar, kalis air dan tahan lama, namun ia sukar ditukar ganti.

Vinil bersalut

• Popular digunakan di rumah kerana ia disaluti lapisan pelindung vinil akrilik

• Tahan lama, tahan panas dan lembap serta mudah dibersihkan.

Vinil Kertas

• Diperbuat daripada kertas berlamina dan ia lebih tebal

• Disarankan dilekatkan dalam bilik mandi dengan keadaan aliran udara yang rendah.

Vinil fabrik

• Diperbuat daripada lapisan kain berlamina.

• Mudah dibersihkan dan tahan lama, jadi ia sesuai diletakkan di laluan keluar masuk, bilik anak, bilik stor, dapur dan bilik mandi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 7:00 AM