Muhamaad Razis Ismail

BERDASARKAN kajian Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (USEPA), hampir 90 peratus masa dihabiskan dengan berada dalam ruang seperti rumah, pejabat, sekolah dan sebagainya.

Jadi, tidak hairan jika kebarangkalian untuk dijangkiti penyakit adalah 18 kali ganda lebih tinggi berbanding apabila berada di luar berikutan kekurangan pengalihudaraan baik dan cahaya matahari seperti yang dilaporkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Jika sebelum ini orang awam cenderung berasa bimbang akan pencemaran di luar bangunan seperti jerebu, kini apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan SARS-CoV2 sebagai virus bawaan udara, ramai cemas dan mula mengambil tahu beza potensi transmisi dalam titisan cecair dan aerosol.

Malah, Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengeluarkan Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman (IAQ) dalam tempoh pandemik Covid-19 yang bukan sahaja merangkumi kawasan awam dan kemudahan penjagaan kesihatan, tetapi juga untuk tetapan kediaman serta bukan kediaman.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ts Dr Ismaniza Ismail berkata, walaupun berada di rumah sendiri, jangan mudah berasa terlalu selamat sehingga terlepas pandang faktor yang mampu menggugat tahap kesihatan.

PENGALIHUDARAAN penting untuk kurangkan risiko penyakit.
PENGALIHUDARAAN penting untuk kurangkan risiko penyakit.

Katanya, tanpa pengalihudaraan yang mencukupi, kepekatan pencemar udara akan meningkat seiring risiko kesihatan akibat menghidunya, terutama apabila berada di ruang itu untuk tempoh lama.

"Masalah ini tidak sekritikal di tempat kerja yang mempunyai sistem penyaman udara berpusat. Namun, pengalihudaraan yang baik juga perlu dititikberatkan apabila berada di rumah.

"Apatah lagi sekarang majoriti kita terperuk lebih lama dalam rumah dalam usaha mengekang penyebaran Covid-19," katanya.

Menurutnya, bekerja dan mengikuti pengajaran serta pembelajaran di rumah bukan sahaja menuntut amalan ergonomik, malah pengalihudaraan yang baik untuk mengurangkan risiko penyakit berjangkit lain.

"Sebagai contoh, selain coronavirus, pendedahan kepada habuk domestik yang dibawa masuk dari luar oleh angin atau pencemar bahan kimia daripada asap rokok dan penyegar udara dalam rumah yang mungkin mengandungi formaldehid.

"Ini bukan sahaja mengganggu-gugat imuniti yang disebabkan masalah kesihatan yang berkait dengan sistem pernafasan, malah juga memburukkan lagi penyakit sedia ada serta menjadikan pesakit lebih rentan terhadap penyakit Covid-19," katanya.

Mengulas lanjut, menguruskan pengalihudaraan di rumah adalah lebih mudah berbanding di tempat kerja yang dikelilingi rakan sekerja.

PENYAMAN udara berkesan untuk meningkatkan pengalihudaraan.
PENYAMAN udara berkesan untuk meningkatkan pengalihudaraan.

"Kita mungkin tidak akan sampai ke tahap terlalu teknikal sehingga membuat pengiraan kadar tukaran udara dengan isipadu ruang rumah dan kadar aliran isipadu udara per minit.

"Tetapi, memadai dengan memahami konsep untuk pengalihudaraan yang baik iaitu memindahkan punca pencemaran dan memastikan terdapat pertukaran udara yang lebih sihat serta segar untuk pernafasan," katanya.

Tambahnya, pengalihudaraan secara semula jadi adalah yang paling asas untuk membenarkan udara segar masuk dan menolak keluar udara dari dalam rumah.

"Namun, kesan membuka pintu dan tingkap agak terbatas, terutama apabila terdapat hanya sedikit angin dan tidak banyak perbezaan antara suhu di dalam serta di luar rumah.

"Sekiranya praktikal, buka lebih daripada satu tingkap atau pintu. Tetapi, perhatian perlu diberi kepada risiko lain yang mungkin membahayakan kesihatan atau keselamatan," katanya.

Jelasnya, sebaik-baiknya pengalihudaraan secara silang dilakukan dengan cara membuka tingkap atau pintu di ruang bertentangan dalam rumah.

"Ketika proses ini, pintu lain di ruang dalaman juga perlu berada dalam keadaan terbuka supaya tidak menghalang udara.

"Pada masa sama, penggunaan kipas berhampiran tingkap juga boleh membantu untuk meniupkan udara masuk dalam bilik jika ditempatkan jauh dari tingkap atau untuk meniup udara keluar dari tingkap jika diletakkan menghadap tingkap.

MENGURUS pengalihudaraan di rumah lebih mudah berbanding di pejabat (gambar hiasan).
MENGURUS pengalihudaraan di rumah lebih mudah berbanding di pejabat (gambar hiasan).

"Untuk ruang kecil seperti dapur atau tandas, kipas ekzos perlu dipasang untuk memaksimumkan pengalihudaraan dan memaksa keluar bahan pencemar dari dalam rumah," katanya.

Sementara itu, Pensyarah serta Pentaksir Kualiti Udara Dalaman Kulliyyah of Science, International Islamic University Malaysia (IIUM) Penolong Profesor, Ts Dr Maryam Zahaba berkata, teknologi penyaman udara yang hadir dengan pengion udara dapat mengurangkan kepekatan pencemar udara termasuk habuk, virus dan bakteria dalam rumah.

"Penyaman udara yang mempunyai ciri-ciri penukar haba yang cekap tenaga atau ventilator pemulihan haba juga berkesan untuk meningkatkan pengalihudaraan.

"Bagi sesetengah rumah yang menggunakan pembersih udara mudah alih pula, ia perlu diletakkan di ruangan yang diduduki kebanyakan ahli keluarga pada sebahagian besar masa.

"Satu lagi pilihan yang semakin popular di rumah adalah pendingin bersejat, jenis unit tetap atau unit mudah alih yang lebih murah. Ia berfungsi dengan menggunakan air untuk penyejukan udara dan meningkatkan kelembapan relatif ruang" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 7:02 AM