MEMILIKI ketinggian 4.1 meter setara dengan ketinggian binaan rumah di atas pokok.
MEMILIKI ketinggian 4.1 meter setara dengan ketinggian binaan rumah di atas pokok.
Nurul Husna Mahmud


Impian kebanyakan kanak-kanak ialah memiliki ran atau rumah pokok sebagai tempat permainan. Kebiasaannya binaan ran adalah pada sebatang pokok yang memiliki struktur kukuh dan tegap.

Namun rekaan ditampilkan Studio Arkitek De Matos Ryan dari United kingdom, lari daripada konsep konvensional bagi binaan rumah terbabit apabila struktur segi tiga dengan ruang sedikit terbuka dibina tanpa menggunakan sebarang pokok.

Rumah pokok yang dinamakan Penfold, (dipetik daripada karakter kegemaran anak klien studio) turut menggunakan kayu dan material semula jadi. Ini diharap memberi kesan harmoni dengan persekitaran kediaman yang menempatkan beberapa pokok semula jadi.

REKAAN unik Studio Arkitek De Matos Ryan.
REKAAN unik Studio Arkitek De Matos Ryan.

Ketinggian Penfold yang mencecah 4.1 meter hampir menyamai ketinggian standard bagi kebanyakan rumah pondok dengan akses masuk binaan itu menerusi ruang terbuka dari bahagian bawah.

Untuk ke tingkat atas rumah pokok itu, empat sisi sebagai ruang meninjau menerusi tingkap kaca yang disediakan dengan tangga tali diletakkan di bahagian tengah rumah pokok itu sebagai laluan akses utama.

RUANG terbuka terhad pada dasar hanya boleh dibolosi kanak-kanak.
RUANG terbuka terhad pada dasar hanya boleh dibolosi kanak-kanak.

Rekaan rumah pokok dalam bentuk modular juga memastikan struktur boleh diturunkan dengan mudah dan dibawa apabila rumah itu dijual.

Selain tangga tali, terdapat juga tangga kayu menghubungkan aras atas dan bawah. Tidak cukup dengan itu, kemudahan seperti bahagian bumbung yang berlampu dikawal secara pintar kerana terdapat pengesan khas yang membantu ia ditutup secara automatik apabila hujan.

Dalam menghubung dengan kehijauan di sekitar, kekisi kabel keluli tahan karat pada bahagian luar juga akan membantu pertumbuhan tanaman menjalar atau memanjat sekali gus pelengkap kepada dekorasi rumah pokok itu.

KEDUDUKAN tingkap berbeza ketinggian memberi pemandangan berbeza.
KEDUDUKAN tingkap berbeza ketinggian memberi pemandangan berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 6:13 AM