LANDSKAP menggunakan pokol hutan sebagai kanopi atau meredupkan kawasan dalam bandar.
LANDSKAP menggunakan pokol hutan sebagai kanopi atau meredupkan kawasan dalam bandar.
Nurul Husna Mahmud


PENGGUNAAN pokok hutan sebagai tanaman hiasan dalam landskap bandar bermula sejak 1995 yang mana ketika itu projek mega seperti Putrajaya, Menara Berkembar Petronas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sedang rancak dibangunkan.

Spesies cukup tersohor ketika itu ialah merawan siput jantan atau nama saintifiknya Hopea odorata roxb yang juga dikenali sebagai cengal kampung dan kini diteruskan lagi dengan beberapa lagi spesies lain seperti keruing serta merbau bagi tujuan memperindahkan kawasan perbandaran termasuk ibu kota Kuala Lumpur menerusi lokasi tarikan awam, Taman Tugu.

Menurut Profesor di Jabatan Senibina Landskap Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor LAr Ts Dr Osman Mohd Tahir, pokok hutan memiliki kepentingan tinggi terutama penggunaannya dalam landskap bandar.

"Penggunaan pokok hutan dalam rekaan landskap sesuatu pembangunan baharu terutama dalam kawasan bandar memiliki impak penting terutama dalam penyerapan karbon yang membantu menangani isu pemanasan global.

"Dilihat pula kepentingan terhadap pengurusan air banjir kilat, pokok hutan atau pokok tua sangat membantu mengurangkan kadar kelajuan atau pengaliran kuantiti air terlalu besar ke kawasan takungan. Selain itu, pokok hutan juga penting kepada aspek biodiversiti iaitu mengekalkan pelbagai spesies dalam persekitaran.

"Lebih penting pokok hutan juga menjadi pengenalan identiti lokaliti atau gen tempatan apabila hanya wujud eksklusif di habitat terbabit. Justeru, dalam setiap pembangunan atau projek pembukaan kawasan baharu membabitkan pembersihan kawasan hijau, pemaju perlu tahu mengenai kewujudan akta tertentu bagi memelihara spesies sedia ada.

"Ini juga yang menjadi rujukan kepada rekaan landskap pembangunan kawasan itu supaya spesies pokok hutan atau pokok tua dapat dipelihara dan kelangsungan dimanfaatkan untuk generasi akan datang," katanya.

Tambah pakar itu lagi, kewujudan akta perancang bandar dan desa, menerusi akta 172 bahagian 5a itu sendiri memperuntukkan perintah pemeliharaan pokok atas terma tertentu.

TAMAN awam seperti Taman Tugu menggunakan pokok hutan dalam memperindahkan kawasan bandar.
TAMAN awam seperti Taman Tugu menggunakan pokok hutan dalam memperindahkan kawasan bandar.

"Dalam Perintah Pemeliharaan Pokok atau lebih dikenali dengan TPO merujuk bukan sahaja satu pokok, tetapi ada kalanya merujuk sekelompok pokok atau terma-terma termaktub bawah akta sama. Antaranya pokok induk yang memiliki ukur lilit lebih 0.8 meter tidak dibenarkan ditebang. Begitu juga pokok induk yang mengeluarkan anak benih.

"Turut tergolong adalah pokok hampir pupus dan dilindungi. Tidak terkecuali juga pokok yang memiliki sejarah dan nilai warisan seperti merbau yang diangkat sebagai pokok kebangsaan baru-baru ini," katanya.

Dalam pokok hutan sendiri kata Dr Osman lagi, ada pelbagai kategori atau karakter menjadikan pokok hutan sesuai untuk pelbagai konsep landskap pembangunan yang ingin diketengahkan pemaju atau kerajaan tempatan.

"Pengalaman saya bersama pemaju secara peribadi sudah ada kesedaran terhadap memelihara pokok hutan dan mereka ambil inisiatif untuk berkolaborasi selain mengekalkan pokok sedia ada menjadi sebahagian landskap di kawasan pembangunan.

"Contohnya kolaborasi saya bersama pemaju, Sime Darby membawa kepada penghasilan buku Malaysia Threaten and Rare Tree Identification Landscape Guideline yang dijadikan rujukan oleh pihak berkenaan dalam setiap kerja pembangunan dilakukan.

POKOK merbau antara khazanah baharu diangkat sebagai pokok kebangsaan ditanam dalam kawasan Taman Tugu.
POKOK merbau antara khazanah baharu diangkat sebagai pokok kebangsaan ditanam dalam kawasan Taman Tugu.

"Dalam buku panduan itu juga disenaraikan 74 spesies pokok hutan hampir pupus atau jarang lagi ditemui apatah lagi untuk persekitaran landskap dalam bandar. Untuk makluman jenis pokok hutan itu memiliki karakter atau profil tersendiri perlu diketahui oleh arkitek landskap.

"Terdapat pokok yang tumbuh di ruang terbuka, spesies sederhana besar, spesies yang terasing (satu spesies sahaja) dan pokok kanopi yang menjadi pilihan utama bagi membina litupan dalam landskap bandar," katanya.

Tidak hanya memfokuskan estetika dalam penataan landskap menerusi pokok hutan sebagai tanaman hiasan dalam bandar, kata Dr Osman, aspek penting adalah pengurusan dan penyelenggaraan pokok terbabit.

"Memandangkan pokok besar memiliki risiko tersendiri (hazard) perlu difikirkan juga perincian mengenai penyertaan pokok hutan dalam kawasan pembangunan atau bandar. Pada satu tahap seperti pihak berkuasa tempatan perlu mewujudkan satu jabatan khusus untuk menjalankan landskap forensik bagi menangani isu berkait dengan pokok hutan atau tumbuhan dalam persekitaran landskap.

"Isu seperti pokok tumbang, pokok mati, dahan patah dan sebagainya dapat dikumpul datanya serta disimpan. Kemudian maklumat ini akan dikaji dan dibuat penyelidikan dengan penubuhan pusat penyelidikan dan klinik tumbuhan untuk menyelesaikan atau kerja memelihara.

KLCC antara lokasi pusat bandar menggunakan pokok hutan sebahagian landskap.
KLCC antara lokasi pusat bandar menggunakan pokok hutan sebahagian landskap.

"Agenda di peringkat kebangsaan, Jabatan Landskap Negara boleh melihat usaha untuk mewujudkan Manual Pengurusan Kanopi Hijau Malaysia supaya ada standard prosedur dipatuhi semua peringkat yang terbabit dalam landskap pokok hutan atau pokok tua," katanya.

Tidak lupa dalam penggunaan pokok hutan sebahagian landskap dalam bandar, kata Dr Osman, beberapa perkara penting untuk menjadikan tumbuh-tumbuhan itu lebih harmoni sesuai dengan persekitaran bandar.

Antaranya ialah pemilihan pokok sesuai, memberi keutamaan kepada pokok 'native' atau gen lokal, reka bentuk dan susunan landskap itu sesuai, kaedah tanaman betul dan prosedur standard amalan serta pengurusan penyelenggaraan pokok terbaik.

MEMBERI nilai tambah kepada komuniti apabila menjadi kawasan tumpuan beriadah dan berkumpul.
MEMBERI nilai tambah kepada komuniti apabila menjadi kawasan tumpuan beriadah dan berkumpul.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 6:20 AM