PENANAMAN pokok antara solusi mudah menyelesaikan isu pemanasan iklim setempat.
PENANAMAN pokok antara solusi mudah menyelesaikan isu pemanasan iklim setempat.
Nurul Husna Mahmud


PERSPEKTIF baru diketengahkan Institut Landskap Akitek Malaysia (ILAM) di sebalik isu pemanasan global dan kesan pandemik Covid-19 yang melanda dunia kebelakangan ini adalah mengenai pemuliharaan kelestarian alam dan pengurusan kanopi dalam membantu mengubah landskap dunia ke arah yang lebih baik.

Menurut pensyarah Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga mantan presiden ILAM, Prof LAr Dr Osman Mohd Tahir, di sebalik konflik yang berlaku sehingga menjejaskan rutin dan norma kehidupan ramai orang, alam semula jadi menerima manfaat apabila dikatakan banyak aktiviti pembangunan dan ekonomi terhenti ketika itu.

Itu juga mencorakkan pandangan penyelidik dalam kalangan penggiat terutama arkitek landskap global melihat perlunya menggunakan kesempatan daripada peristiwa pandemik itu. Sekali gus menjadi penanda aras dalam menilai hala tuju baru dalam seni bina landskap yang dapat menangani isu pemanasan global.

"Satu perubahan ketara ketika pandemik Covid-19 adalah keadaan alam sekitar yang mana spesies terutama serangga yang sebelum ini tidak dapat lagi dilihat sudah kembali keluar.

"Kalau dulu pepatung dan spesies rama-rama tertentu tidak dapat dilihat, ditemui apabila pandemik berlaku dan semua aktiviti ekonomi dan rutin harian manusia terhenti.

"Bagi penggiat arkitek landskap, keadaan itu memberi harapan baru terutama keperluan infra hijau dan kanopi dipelihara dan diurus dengan baik.

"Cumanya setiap negara atau tempat perlu ada kaedah dalam penambah baikan terutama pengurusan pokok, infra hijau dan kini kanopi agar membina pembangunan lestari yang manpan,"

katanya.

Tambah Dr Osman, hala tuju itu sejajar dengan inisiatif ILAM dalam Persidangan Arkitek Landskap Sedunia (IFLA 2020) secara maya berlangsung pada Ogos lalu mengenai hala tuju badan dunia itu dalam komitmen untuk tangani krisis pemanasan global.

TAMAN awam perlu ada pengurusan standard memastikan kelangsungan dan ia juga penting dalam elemen menurunkan suhu setempat.
TAMAN awam perlu ada pengurusan standard memastikan kelangsungan dan ia juga penting dalam elemen menurunkan suhu setempat.

"Malaysia turut menyertai komitmen 70,000 arkitek landskap dunia menerusi ILAM apabila menyatakan komited terhadap deklarasi mengehadkan peningkatan suhu dunia sehingga 1.5 darjah Celsius dan mengurangkan pembebasan karbon.

"Isu pemanasan global masih menjadi agenda utama dipersetujui dan dibincangkan penggiat arkitek landskap sedunia termasuklah dalam persidangan IFLA pada Ogos baru-baru ini yang dilangsungkan menerusi dalam talian.

"Malaysia sebagai tuan rumah dan penganjuran rasmi menerusi ILAM, melihat usaha menangani krisis iklim dengan mengiktiraf prinsip kepentingan kesatuan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta Sasaran Pembangunan Lestari (SDG)," katanya.

Tambah Dr Osman lagi, menyedari realiti apabila 70 peratus penduduk dunia menghuni kawasan bandar menjelang tahun 2050, intervensi bersifat holistik dalam mewujudkan ekosistem lestari penting dengan memperkasakan kepakaran dalam bidang berkaitan, penggunaan teknologi dan inovasi bebas karbon selain perancangan, pembangunan dan pengurusan sumber serta aset hijau yang lebih sistematik.

"Antara inisiatif ILAM untuk memastikan pembangunan sesuatu kawasan berjalan selaras dengan aktiviti karbon rendah dan menangani pemanasan global, Panduan Pengurusan Terbaik Pemuliharaan Pokok dan Pengurusan Infrastruktur Hijau dikeluarkan September baru-baru ini.

PENGHASILAN kompos salah satu aktiviti lestari.
PENGHASILAN kompos salah satu aktiviti lestari.

"Panduan ini penting kerana menjadi rujukan lengkap buat arkitek landskap dan agensi pelaksana yang diamanahkan untuk menyediakan laporan pemuliharaan pokok dan pengurusan infrastruktur hijau di kawasan hijau dan lapang bagi kelulusan sesuatu projek pembangunan.

"Ia dapat memastikan pembangunan itu selari ke arah peningkatan kualiti kehidupan, keselamatan dan kesejahteraan pengguna selain kelestarian biodiversiti dan ekosistem setempat," katanya.

Untuk penambahbaikan, kata Dr Osman, pihaknya berhasrat untuk membuat manual khas iaitu Manual Pengurusan Kanopi Hijau Malaysia bagi meningkatkan pengurusan ekosistem landskap lestari jangka masa panjang.

"Malaysia memiliki pelbagai taman awam dan juga persendirian selain ruang lingkup hijau yang perlu diurus selia bagi memastikan kelangsungan.

BANGUNAN juga perlu diterapkan elemen hijau agar mengurangkan penghasilan karbon.
BANGUNAN juga perlu diterapkan elemen hijau agar mengurangkan penghasilan karbon.

"Namun peringkat pengurusan setakat ini tiada panduan atau manual dapat mengetengahkan aspek penting termasuklah pengurusan pokok warisan, identiti, budaya serta pengurusan risiko diperincikan.

"Jadi pihak kami bercadang untuk sediakan manual lengkap yang dapat memberi panduan tepat dan lebih sistematik supaya aset kanopi dalam negara dapat diurus dan sentiasa dalam keadaan terjaga dengan baik," katanya.

Tidak hanya tampil dengan pelbagai manual dan panduan dalam merealisasikan komitmen untuk tangani isu pemanasan global, kata Dr Osman pihaknya tidak lupa menyediakan tenaga kepakaran dapat menyambung kesinambungan usaha lestari itu.

"Tenaga kepakaran juga perlu dalam menyediakan masyarakat terhadap gaya hidup lestari. Seperti program sarjana Pengurusan Landskap Lestari kini diwujudkan di UPM sudah masuk pengambilan tahun ketiga diharap dapat menyumbang kepada menjalankan gerak kerja dan pelan untuk pembangunan dan pengurusan lestari," katanya.

Antara usaha lain pihaknya turut berkerjasama dengan masyarakat untuk mewujudkan komuniti kebun bandar yang dapat meningkatkan laman hijau selain mengurangkan karbon di kawasan bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 7:00 AM