PEMILIK baik pulih rumah kayu lama berciri pertukangan halus dan teliti dengan tatahias perabot putih cerah.
PEMILIK baik pulih rumah kayu lama berciri pertukangan halus dan teliti dengan tatahias perabot putih cerah.
LANGSIR putih yang ringan bukan sahaja membantu pencahayaan malah juga pengudaraan baik bagi ruang dalam rumah.
LANGSIR putih yang ringan bukan sahaja membantu pencahayaan malah juga pengudaraan baik bagi ruang dalam rumah.
Nurul Husna Mahmud


BUKAN mudah untuk pasangan suami isteri Ainatul Mardhiah Hashim, 33, dan Mohd Dzahiruddin Abd Rahim, 31, mengubah suai kediaman usang berusia lebih 35 tahun ini menjadi kediaman selesa buat keluarga kecil mereka.

Malah ia memberikan pengalaman berharga buat keluarga itu khususnya Ainatul Mardhiah yang sebelum ini mendiami rumah berdinding konkrit.

Kongsi Ainatul Mardhiah, sebaik suaminya membeli tanah termasuk rumah lama di kampung Beladau Kepong, Kuala Terengganu itu dia akur dan mula melakukan kerja-kerja menata rias bagi menyesuaikan kediaman itu mengikut cita rasa tersendiri.

Kata ibu kepada seorang cahaya mata itu, pada mulanya dia agak keberatan dengan keputusan suami untuk membeli rumah kayu yang sudah ditinggalkan lebih lima tahun oleh pemilik asal.

"Suami sangat meminati rumah kayu dan apabila dapat tahu pemilik tanah itu mahu jual tanah dengan rumah sekali, dia memaklumkan kepada saya namun saya tidak bersetuju pada awalnya kerana tampak usang serta banyak semak-samun.

"Tambahan pula rumah itu sepenuhnya kayu, saya bimbang dengan kos membaik pulih yang mungkin tinggi. Tetapi suami memujuk dan meyakinkan saya bahawa rumah itu akan nampak sangat cantik selepas dibersihkan serta dibaik pulih.

CERMIN diletakkan pada ruang tumpuan membantu pencahayaan.
CERMIN diletakkan pada ruang tumpuan membantu pencahayaan.

"Selepas suami upah kontrak menebang pokok di sekeliling rumah dan tukang kayu untuk baiki kerosakan terutama bahagian luar yang reput, barulah terserlah sisi uniknya," katanya.

Katanya, antara cabaran dalam menata hias ruang ialah dari segi pencahayaan dalam rumah berkenaan terlalu gelap pada awalnya.

"Satu pengorbanan yang kami lakukan apabila terpaksa tebang pokok buah seperti manggis, kelapa, jambu dan pisang di sekeliling rumah demi mendapat pencahayaan yang baik dalam rumah.

"Kalau tidak, sebelum ini ketika siang pun terpaksa menghidupkan lampu kerana terlalu gelap. Warna kayu yang gelap juga membuatkan suasana bertambah suram.

"Kemudian saya letakkan perabot berwarna putih bagi wujudkan keceriaan dan beri efek suasana lebih cerah di dalam rumah," katanya.

MEJA bar dengan kerusi tinggi antara ciri moden dibawa Ainatul Mardhiah dan pasangannya.
MEJA bar dengan kerusi tinggi antara ciri moden dibawa Ainatul Mardhiah dan pasangannya.

Dalam proses itu juga, dia pernah menimbang untuk mengecat dinding kayu dengan warna putih tetapi menangguhkan hasrat itu atas faktor bajet selain mahu menikmati warna semula jadi yang ada padanya.

"Sebenarnya cita rasa saya lebih kepada rumah ladang ala Inggeris. Jadi, permainan warna mestilah banyak berlatarkan putih.

"Apabila pindah ke rumah ini dan lihat warna kayu asal terlalu gelap, saya pun suarakan hasrat untuk mengubah warnanya kepada putih. Tetapi suami kata baik gunakan varnis kayu untuk tonjolkan tekstur dan kemasannya pada dinding.

"Istimewanya rumah ini adalah kerja-kerja pertukangan kayu sangat halus dan teliti. Perincian boleh dilihat pada permukaan kayu terutama dinding dan siling ruang tamu yang mempunyai kemasan serta corak tertentu.

"Ini juga salah satu cabaran kepada saya dan suami ketika proses kerja membaik pulih kayu kerana tukang kayu baharu tidak mampu menghasilkan kemasan atau kerja-kerja pertukangan sama seperti yang dihasilkan tukang lama," katanya.

RAK putih dijadikan pembahagi ruang untuk ruang tamu yang terbuka.
RAK putih dijadikan pembahagi ruang untuk ruang tamu yang terbuka.

Oleh kerana rumah berkenaan menggunakan teknik kayu dua lapis, jadi dinding kayu di luar sahaja yang terjejas teruk kerana dimakan anai-anai. Sementara di bahagian dalam hanya memerlukan kerja-kerja mengecat sahaja. Bagi membaik pulih bahagian itu rekaan dan material baharu diperlukan.

Akui Ainatul Mardhiah, selain bergelut dengan kos membaik pulih, dugaan lain ialah rumah berkenaan dibeli ketika tempoh pandemik Covid-19 menyebabkan proses membaik pulih mengambil tempoh yang lama.

"Kerja-kerja membaik pulih yang sepatutnya dilakukan dalam tempoh tiga bulan terpaksa ditangguhkan ke beberapa waktu sehingga ia dapat disiapkan penghujung tahun lalu.

"Kami juga berpindah pada Februari lalu dan perabot yang ada adalah dari rumah sewa kami. Jadi kami cuba berjimat dengan menggunakan hanya 20 peratus perabot baharu," katanya.

Satu lagi elemen menonjol pada kediaman pasangan itu juga ialah meja bar yang terletak di laluan antara ruang tamu dan dapur.

KERJA pertukangan di luar melalui proses pemulihan dengan tukang kayu baharu.
KERJA pertukangan di luar melalui proses pemulihan dengan tukang kayu baharu.

"Walaupun ia rumah kampung tetapi suasana dan ruang dalaman terutama meja bar membuatkan ia tampil dengan sentuhan moden.

"Selain penggunaan perabot gaya terkini, kami suntik juga elemen kontemporari menerusi reka bentuk lampu dan juga motif permaidani di ruang tamu.

"Ramai yang kagum apabila melangkah masuk kerana konsep hiasan dalaman lebih segar dan moden. Pada masa sama ia kelihatan serasi dengan perincian atau kemasan kayu yang ada," katanya.

Kini, dia juga tidak menafikan suhu persekitaran dalam rumah masih selesa meskipun di tengah hari.

"Selain menggunakan langsir material tipis dan ringan, tingkap yang banyak dan teknik pembinaan rumah menggunakan dua lapis kayu termasuklah pada bahagian siling menjadikan ia lebih nyaman," katanya.

AINATUL Mardhiah dan suami memilih rumah kampung sebagai kediaman didiami.
AINATUL Mardhiah dan suami memilih rumah kampung sebagai kediaman didiami.

Bagi kemasan lantai pula, kata Ainatul Mardhiah, dia tidak perlu kerja mengalas lantai dengan tikar getah kerana tukang rumah berkenaan menggunakan kayu seret.

"Kayu seret ini memang banyak dipakai tukang rumah di Terengganu kerana ciri-cirinya apabila dipasang akan terletak rata dan rapat.

"Tiada isu seperti ada kesan lubang atau jarak antara papan. Jadi untuk lantai saya tidak perlu sebarang kerja memasang tikar getah," katanya.

RAK putih dijadikan pembahagi ruang untuk ruang tamu yang terbuka.
RAK putih dijadikan pembahagi ruang untuk ruang tamu yang terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 6:10 AM