BANGI 22 FEBRUARI 2019. Dekorasi kediaman Mohamed Hazeman Huzir di Bangi untuk Dekotaman Harian Metro. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
BANGI 22 FEBRUARI 2019. Dekorasi kediaman Mohamed Hazeman Huzir di Bangi untuk Dekotaman Harian Metro. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Hafiz Ithnin


SEBAIK daun pintu diselak, terpesona mata melihat rumahnya yang ringkas bermain corak geometri. Sekali imbas tidak ubah seperti sebuah galeri seni unik yang bijak menggabungkan elemen kayu, besi dan batu.

Pemiliknya, Mohamed Hazeman Huzir sebenarnya baru saja memiliki kediaman itu pada Jun tahun lalu. Pastinya memiliki kediaman sendiri memberi kepuasan yang tidak ternilai. Apatah lagi, ia menjadi kanvas untuk dia mengukir seni dekorasi.

Bertandang ke kediaman berkeluasan 985 kaki persegi itu mata terus tertumpu kepada dinding yang dijadikan titik fokus dekorasi. Sekali imbas ia seakan-akan tali gitar atau garisan baluk yang sinonim dengan nota muzik diletakkan di bahagian itu.

Bagi mengelakkan rasa janggal membiarkan garis itu sahaja menjadi ‘penghuni’ di dinding utama, cermin bulat diletakkan di antara garisan yang menjadikan per­sembahan hiasan itu lebih dramatik.

DAPUR yang serba lengkap dengan pelbagai perkakasan dan kabinet yang tampak moden.
DAPUR yang serba lengkap dengan pelbagai perkakasan dan kabinet yang tampak moden.

Meja panjang kayu berkaki besi dan kerusi panjang seperti di kantin sekolah menambah keunikan di bahagian itu yang turut dijadikan ruang makan.

Bagi menonjolkan hasil seni lain di ruang itu yang turut diletakkan dua lukisan abstrak, deretan lampu limpah untuk kediaman dipasang dan dihalakan di bahagian titik fokus berkenaan.

Hazeman berkata, dia suka menggabungkan hiasan bentuk geometri empat segi tepat dan bulat bagi mewujudkan suasana yang unik dan tampak lebih kemas serta serasi dengan cita rasanya.

BILIK tidur yang kemas dan mempunyai lukisan karikatur sebagai penghias dinding.
BILIK tidur yang kemas dan mempunyai lukisan karikatur sebagai penghias dinding.

Katanya, gabungan elemen batu, kayu dan besi juga menjadi pilihan kerana beliau suka kepada konsep kediaman industri yang menjadikan ketiga-tiga elemen itu sebagai asas dalam persembahan dekorasi.

“Saya seorang yang suka kepada dekorasi ringkas dan jika kita lihat kepada hiasan dalaman industri, ia banyak memberi tumpuan kepada konsep manimalis dan menonjolkan tiga elemen berkenaan.

“Selain itu, saya sukakan seni abstrak dan arca. Oleh itu gabungan konsep kediaman industri bersama hiasan berbentuk geometri membantu menghidupkan seni di dalam kediaman ini, sekali gus dapat menonjolkan koleksi seni peribadi yang saya miliki,” katanya.

Meskipun mempunyai ruang tamu agak terhad, Hazeman bijak membahagikan ruang makan yang menjadi tumpuan hiasan sebagai tempat bersantai dengan meletakkan layar besar bersama projektor.

RUANG makan yang menjadi titik fokus dekorasi kediaman Hazeman.
RUANG makan yang menjadi titik fokus dekorasi kediaman Hazeman.

Perabot di bahagian santai itu cukup ringkas kerana hanya mempunyai satu set sofa tiga tempat duduk, meja kopi dan layar besar itu untuk menonton filem atau drama.

Hazeman berkata, dia sengaja tidak meletakkan televisyen di ruang santai dan menggantikan dengan projektor bagi memberi kemudahan dan kepuasannya untuknya bukan saja menonton filem malah melihat hasil kerja dihasilkannya de­ngan lebih jelas.

“Saya bekerja dalam industri media. Bagi saya skrin televisyen agak terhad dan tidak memberi kepuasan untuk menonton hasil kerja yang dihasilkan. Penggunaan layar besar ini menjadikan ruang menonton seolah-olah berada di pawagam.

“Selain itu, ia juga tidak memakan ruang berbanding meletakkan televisyen kerana saya boleh menggulungnya jika tidak digunakan. Kerja mengemas juga lebih mudah,” katanya.

Bersesuaian dengan konsep industri dan manimalis, Hazeman menggunakan bidai ting­kap bagi menggantikan langsir. Lebih unik di bahagian santai itu juga terdapat dua para berbingkai besi hitam yang besar.

Ruangan dapurnya juga tidak diabaikan. Dapur kecilnya kemas dan teratur apatah lagi dengan kehadiran kabinet dapur yang ringkas tetapi tampak mewah.

Di sini juga diwujudkan satu bahagian kecil untuknya bercucuk tanam dan cahaya lampu digunakan sebagai pengganti cahaya matahari.

Sekali imbas, rak kecil yang menempatkan kebun mininya tak ubah seperti ruang eksperimen di makmal. Apatah lagi lampu ungu yang digunakan sememangnya menarik perhatian.

Kediaman itu yang dilengkapi tiga bilik. Bilik utama dijadikan bilik tidur, bilik kedua diubah fungsinya menjadi bilik pakaian dan Hazeman bercadang memanfaatkan bilik ketiga yang paling kecil sebagai ruang bekerja.

Hazeman berkata, untuk bilik tidurnya juga dia mengadaptasi konsep ringkas dengan hanya meletakkan tiga para kayu berteman tiga lukisan, sebuah televisyen lekap di dinding dan set meja solek.

BILIK menyimpan pakaian terdiri daripada rel menyangkut pakaian menjadikan ruang itu mudah untuk menguruskan pakaian.
BILIK menyimpan pakaian terdiri daripada rel menyangkut pakaian menjadikan ruang itu mudah untuk menguruskan pakaian.

“Bagi saya bilik tidur perlu dalam keadaan selesa, tenang dan memudahkan. Kadangkala apabila balik dari kerja saya lebih gemar berada di dalam bilik dan disebabkan itu, saya letak sebuah televisyen supaya boleh menonton di sini.

“Bilik kedua saya khaskan untuk mengisi pakaian saja kerana mempunyai pakaian yang agak banyak. Selain itu, ia memudahkan saya untuk menguruskan pakaian kerana ia dilengkapi laci dan rel menyangkut pakaian, “katanya.

Ternyata berada di kediaman Hazeman memberi ilham baru kerana ia bukan saja kelihatan ringkas dan unik seperti sebuah galeri seni tetapi turut menggambarkan cita rasa atau personaliti pemiliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 6:00 AM