KOMBINASI warna neutral menaikkan seri ruang.
KOMBINASI warna neutral menaikkan seri ruang.
Aniza Zainudin

Kerja pengubahsuaian dan dekorasi kediaman adalah satu proses rumit dalam memastikan setiap pelan yang dirancang memenuhi cita rasa, keperluan dan kapasiti ruang sedia ada.

Mungkin ia mudah bagi mereka yang berpoket tebal untuk menyuarakan konsep tata hias idaman menerusi rundingan bersama pakar seni reka hiasan dalaman, namun berbeza situasi bagi pemilik kediaman yang mempunyai bajet terhad.

Menariknya, sentuhan dekorasi bajet ini selalunya lebih bersifat peribadi dan terselit sentimen demi merealisasikan idea yang diingini.

Pertemuan penulis dengan pasangan suami isteri, Mohd Nizar Mansor dan Wan Salfarini Wan Hamat, masing-masing berusia 34 tahun, di kediaman teres dua tingkat peribadi di pinggir ibu kota, baru-baru ini menyingkap inspirasi penataan pilihan.

Berlatar belakang kerjaya jurutera awam, memberi kelebihan kepada Wan Salfarini untuk merancang idea dekorasi dan susun atur perabot di kediamannya itu sekali gus melengkapkan konsep minimalis dan Scandinavia.

WAN Salfarini bersama suami, Mohd Nizar.
WAN Salfarini bersama suami, Mohd Nizar.

“Kami berpindah ke rumah ini sejak enam tahun lalu dan tidak pernah memikirkan apa-apa konsep hiasan dalaman kerana ketika itu, saya turut sibuk dengan pengajian peringkat sarjana.

“Perkara pertama yang kami lakukan sebaik berpindah ke sini adalah membina kabinet dapur. Saya mempunyai idea sendiri bagi dapur yang disifatkan ruang peribadi dalam memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu untuk menyediakan hidangan keluarga.

“Menggunakan ilmu dan pengalaman yang ada, saya membuat keputusan mereka bentuk kabinet dapur idaman bersesuaian dengan cita rasa serta ruang tersedia.

“Terlebih dulu, saya melakar beberapa jenis reka bentuk kabinet sebagai pilihan dan mengambil masa kira-kira dua hari untuk melakukannya.

“Saya turut menambah elemen meja bar di bahagian dapur sekali gus berfungsi sebagai ‘pembahagi’ antara dapur dan ruang makan.

“Selain melakar reka bentuk diingini, saya turut memilih warna putih sebagai tema kerana berpendapat ia lebih mudah digandingkan dengan pelbagai warna lain kelak, nyata keputusan awal itu tepat,” katanya.

RUANG makan bagi seisi keluarga.
RUANG makan bagi seisi keluarga.

Mementingkan konsep minimalis bersifat praktikal dan simetri, wanita ini mengakui setiap pemilihan perabot dan aksesori hiasan merujuk kepada elemen ringkas serta moden.

Menerima sokongan suami tercinta, ibu kepada tiga anak ini berkata konsep minimalis bukan saja menepati trend terkini generasi muda, bahkan ia mampu mengurangkan kos dekorasi dengan rekaan perabot lebih ringkas tapi kekal menarik.

Ini terbukti dengan gaya pilihan rekaan dalaman di ruang tamu hasil tangan Wan Salfarini yang tampak elegan dengan permainan ton pastel.

Sentuhan dekorasi ruang tamu dikategorikan tepat apabila berjaya menyerlahkan tarikan mata dengan kombinasi warna neutral seperti coklat cair, putih, merah jambu dan hijau bersama ‘contengan’ hitam membuatkan suasana lebih segar.

Paduan dua jenis sofa berbeza rekaan dan ton dari skema yang sama mewujudkan tarikan ilusi mata, tambahan pula ia dihiasi dengan variasi bentuk kusyen.

Tidak lari daripada elemen kayu, Wan Salfarini memilih meja kayu berbentuk segi empat tepat, berkaki besi bersaiz sederhana bagi menghiasi hamparan permaidani.

RUANG menonton televisyen yang santai.
RUANG menonton televisyen yang santai.

Penggayaan fabrik berkait berwarna merah jambu pula menjadi ‘lawan’ kepada rona tanah, malah pokok hiasan kehijauan pelbagai jenis mengurangkan dominasi warna lembut serta menyegarkan pandangan.

Menurut Wan Salfarini, warna coklat, putih dan hitam membuatkan ruang tamunya lebih eksklusif.

Tidak terlalu berlebihan pada hiasan dinding, gantungan tiga poster berbeza motif dan saiz sudah cukup menaikkan seri ruang.

Menjadikan Internet sebagai sumber rujukan dan panduan dalam susun atur perabot dan poster, Wan Salfarini menegaskan setiap tindakan bakal diambil perlu dirancang bagi memastikan ia benar-benar sesuai dan nampak cantik.

Manakala, elemen lampu hiasan berbentuk melengkung turut meninggalkan impak tarikan yang unik.

Melangkah ke ruang privasi, pasangan ini mengutamakan kombinasi warna putih, kelabu dan merah jambu bagi menzahirkan mood santai serta romantis.

Mengekalkan konsep sederhana, hiasan dekorasi lebih tertumpu pada variasi bantal hiasan bermotif dan rona, serta poster kata-kata positif.

BILIK tidur lebih minimalis.
BILIK tidur lebih minimalis.

Satu lagi sudut menarik perhatian adalah ruang mekap ciptaan Wan Salfarini yang tampak santai dan segar.

Memilih meja sisi berlaci diperbuat daripada kayu dan besi, wanita ini bertindak menghiasi meja mekap dengan kuntuman bunga palsu dalam pasu putih.

Berkongsi tip dekorasi, wanita ini menegaskan konsep pilihannya tidak memerlukan kos perbelanjaan tinggi, sebaliknya individu perlu bijak membuat pilihan dan merancang idea diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 7:30 AM