AIR teh juga boleh digunakan untuk membersihkan perabot kayu.
AIR teh juga boleh digunakan untuk membersihkan perabot kayu.
Zaitie Satibi


Perabot kayu yang digilap dengan pengilat lama-kelamaan akan menyebabkan lapisan hitam kerana sudah bercampur dengan habuk. Bagi mengekalkan kemasan pada perabot kayu, ia memerlukan pembersihan mendalam secara berkala. Berikut panduan membersih­kan perabot kayu menggunakan bahan-bahan sedia ada di rumah.

- Membuang kemasan pengilat lama yang berlapis-lapis pada perabot akibat kerap digilap, anda boleh menggunakan air teh. Rendam dua uncang teh dalam air panas. Biarkan air teh sejuk dan gunakan kain lembut untuk membersih­kan perabot kayu.

Asid tanik dalam air teh akan membantu membersihkan pengilat lama dan pada masa sama memelihara kayu. Anda pasti kagum dengan hasilnya apabila perabot kayu anda kelihatan berkilat.

- Bagi menghilang­kan kesan tompokan air terutama kesan cawan atau mug, anda boleh menggunakan ubat gigi bukan gel. Letakkan sedikit ubat gigi itu pada tompokan berkenaan dan gosok perlahan-lahan menggunakan kain sehingga kesan tompokan hilang.

Jika kesan tompokan yang sukar dihilangkan, boleh mencampur sedikit soda penaik pada ubat gigi dan gosok menggunakan kain bersih.

- Buang kesan dakwat. Campurkan satu sudu kecil soda penaik dan satu sudu kecil air bersama sedikit ubat gigi. Sapukan pada kesan kotor yang disebabkan dakwat dan gosok perlahan-lahan menggunakan kain lembut sehingga kesan itu hilang.

- Buat pengilat sendiri menggunakan campuran satu cawan minyak zaitun yang ditambah cuka putih. Gunakan kain lembut dan gosok perlahan-lahan pada perabot kayu sehingga berkilat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 2:33 PM