GAMBAR kenangan dirakam selepas selesai kerja pengubahsuaian.
GAMBAR kenangan dirakam selepas selesai kerja pengubahsuaian.
Nurul Husna Mahmud

Persekitaran sihat dan ceria boleh memberi kesan positif kepada perkembangan mental serta fizikal kanak-kanak.

Apatah lagi jika membabitkan kanak-kanak yang kurang berkemampuan atau anak yatim semestinya memerlukan sumbangan korporat dan individu bagi membolehkan mereka menikmati peluang sama.

Menyahut seruan itu Coca-Cola Malaysia dan rakan kongsi projek komunitinya, Akzo Nobel Paints Malaysia (Akzo Nobel) mengambil inisiatif menceriakan Rumah Kebajikan Pertubuhan Baitul Mahabbah di Rasah, Negeri sembilan yang menjadi kediaman 35 penghuni.

Sebelum itu Coca-Cola turut menganjurkan Pertandingan Golf Amal Coca-Cola yang berjaya mengumpul dana RM100,000 untuk kempen sama bagi membolehkan rumah kebajikan itu diubah suai dan diceriakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola’s Bottling Investment Group Malaysia-Singapura-Brunei, Gareth McGeown berkata, pihaknya gembira dapat menyumbang kepada komuniti terutama kanak-kanak dengan kolaborasi rakan korporat lain iaitu Akzo Nobel.

“Kami gembira dapat melakukan sesuatu untuk komuniti iaitu menerusi projek keceriaan yang dilihat boleh memberikan kesan positif dan memperbaiki mutu kehidupan kanak-kanak di Pertubuhan Baitul Mahabbah.

“Projek komuniti ini direalisasikan menerusi sokongan hebat rakan perniagaan, pelanggan dan pembekal yang membantu kami mengumpul dana pada kejohanan golf berkenaan.

“Hari ini pula Akzo Nobel sanggup menaja cat bagi memastikan projek komuniti ini berjaya dilaksanakan,” katanya.

Malah, kerjasama erat dibuktikan sepenuhnya apabila sukarelawan Coca-Cola Malaysia dan Akzo Nobel bertungkus-lumus mengecat semula dinding rumah kebajikan berkenaan.

Selain itu, mereka menghasilkan lukisan mural di bilik kanak-kanak dan mengecat pagar di luar asrama berkenaan.

Pada masa sama mereka turut membersihkan persekitaran luar asrama berkenaan, menggantikan langsir, memasang kabinet dan meja belajar serta melakukan kerja pembaikan.

Ketika kerja pengubahsuaian dijalankan, 35 kanak-kanak yang mendiami rumah kebajikan itu berusia enam hingga 12 tahun, bersama empat penjaga dibawa melawat Petrosains dan Taman Burung Kuala Lumpur.

Wakil Pertubuhan Baitul Mahabbah, Noraini Yaakob berkata, sumbangan diterima dianggap sebagai hadiah paling berharga buat seisi penghuni rumah kebajikan itu.

“Kanak-kanak begitu seronok apabila diraikan dan diberi peluang melawat tempat menarik begini. Sejurus tiba di rumah kebajikan, jelas tergambar pada wajah anak-anak kami yang teruja melihat bangunan bercat baru, perabot baru dan segala-galanya nampak segar. Ia memberikan kegembiraan berganda kepada mereka ,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Akzo Nobel, Indra Laban berkata, pihaknya gembira dengan kerjasama terjalin dengan Coca-Cola Malaysia dalam menjayakan projek komuniti terbabit.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Coca-Cola Malaysia dalam menjayakan projek komuniti ini.

“Kanak-kanak adalah harapan masa depan kita dan kami ingin memberikan sokongan kepada mereka bagi mengembangkan potensi.

“Selain memberikan inspirasi untuk lebih kreatif, positif dan ceria melalui warna,” katanya ketika berucap bagi mewakili pihak pengeluar cat dari Belanda itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 12:03 AM