ELEMEN fraktal mewujudkan suasana selesa selain menyerlahkan emosi penghuni kediaman.
ELEMEN fraktal mewujudkan suasana selesa selain menyerlahkan emosi penghuni kediaman.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Fraktal dapat dijumpai di sekeliling kita dari sekecil zarah sehingga ke sebesar-besar ciptaan alam.

Mendapat inspirasi dari alam semula jadi, corak fraktal juga ternyata sinonim dengan reka bentuk dalaman.

Pengarah Rekaan Core Design Workshop Ooi Jiin Yuan berkata, corak fraktal memainkan peranan penting dalam rekaan dalaman kerana ia menambah tekstur pada ruang.

“Fraktal adalah salah satu elemen penting dalam rekaan dalaman kerana ia menambah tekstur pada sesebuah ruang dan berfungsi mewujudkan keselesaan.

“Selain itu, fraktal juga berfungsi untuk memberi panduan pada seseorang individu ke arah tertentu.

“Contohnya di pusat beli-belah yang mempunyai saiz ruang yang besar jadi, rekaan dalaman memainkan peranan dalam membimbing berjalan ke seluruh pusat beli-belah itu mengikut satu arah,” katanya ketika ditemu bual di pejabatnya di Galeri Core Design, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Katanya, saiz pusat beli-belah yang besar juga memerlukan rekaan bersesuaian dan menyelitkan tempat berhenti pada jarak atau arah tertentu.

“Bagi menghasilkan laluan yang betul dan tempat berhenti yang bersesuaian boleh selitkan beberapa motif diinspirasi daripada fraktal semula jadi,” katanya.

Salah satu projek Core Design Workshop yang dapat menerapkan elemen fraktal adalah rekaan dalaman bagi aras bawah Mid Valley Megamall.

“Bentuk yang diketengahkan adalah heksagon dan corak fraktal ini dapat dilihat pada sarang madu lebah.

“Kami selitkan corak heksagon pada jubin dan siling ruang berkenaan sementara pergerakan bentuk heksagon pada jubin itu pula seperti gelombang,” katanya.

Pergerakan corak jubin itu memberi aliran dan melahirkan tenaga pada ruang berkenaan selain mewujudkan perasaan serta suasana berbeza kepada pengunjung.

Motif dan inspirasi fraktal tidak hanya tertumpu pada rekaan dalaman tapi turut diterap dalam amalan seni bina.

Fraktal juga dikatakan mampu berfungsi untuk mewujudkan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi.

“Contohnya, blok konkrit atau pintu kayu terbuka dengan corak berulang. Selain menambah elemen tekstur ia juga dapat berfungsi sebagai pengudaraan dan pencahayaan semula jadi,” katanya.

Ooi turut menunjukkan contoh inspirasi fraktal yang diketengahkan dalam reka bentuk kediaman indah dengan gaya kontemporari dan minimalis.

“Kami selitkan corak berulang pada pintu besinya. Walaupun kelihatan ringkan, ia ternyata menyuntik kelainan kerana turut membuatkan pencahayaan dari luar masuk ke dalam,” katanya.

Motif fraktal juga tidak hanya terhad bagi sesetengah gaya atau konsep rekaan dalaman saja.

Kewujudkan fraktal dalam sesebuah ruang turut memberi perbezaan dan perubahan yang nyata.

“Berbanding corak polos, rekaan dalaman yang menyelitkan corak fraktal ternyata menyuntik kelainan pada sesebuah ruang selain menambah tekstur selain mewujudkan keselesaan pada penghuninya.

“Ia turut berkait dengan psikologi manusia kerana ternyata kita lebih selesa dalam ruang yang mempunyai tekstur dan corak motif fraktal.

“Tanpa kewujudan fraktal, manusia akan rasa kosong dan serba tidak kena tapi tidak tahu sebab atau punca. Jadi, rekaan dalaman juga dapat mempengaruhi emosi manusia,” katanya.

Malah rekaan dalaman kediaman biasanya mempunyai unsur fraktal tanpa kita sedar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 10:47 AM