HANYA 54 peratus responden  berpendpatan tinggi dapat menyimpan untuk matlamat jangka panjang.
HANYA 54 peratus responden berpendpatan tinggi dapat menyimpan untuk matlamat jangka panjang.
Oleh Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Hanya 18 peratus rakyat Malaysia mempunyai pelan simpanan persaraan untuk menyokong matlamat kewangan mereka, demikian menurut Indeks Daya Tahan Kewangan Asia-Malaysia yang diterbitkan oleh Sun Life.

Penyedia perkhidmatan insurans hayat dan takaful itu berkata, indeks berkenaan juga mendapati, di Malaysia 66 peratus responden yakin dapat memenuhi matlamat kewangan jangka panjang mereka, namun hanya 38 peratus yang mempunyai pelan kewangan melangkaui satu tahun ke hadapan.

"Rakyat Malaysia menyenaraikan persaraan dan simpanan sebagai keutamaan kewangan kedua tertinggi, namun hanya 18 peratus yang mempunyai pelan persaraan atau pencen bagi menyokong matlamat mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Presiden dan Ketua Negara Sun Life Malaysia, Raymond Lew berkata, indeks yang mengkaji 1,000 responden di Malaysia itu mendapati bahawa golongan milenial iaitu berusia antara 28 hingga 43 tahun adalah generasi yang mempunyai tahap kewangan paling berdaya tahan.

Beliau berkata, berbanding dengan generasi lain, golongan itu lebih yakin (69 peratus) dengan masa hadapan kewangan, malah berkemungkinan lebih besar untuk membuat keputusan kewangan berdasarkan kajian (65 peratus) berbanding generasi yang lebih tua (62 peratus).

Katanya, golongan milenial juga lebih yakin untuk dapat memenuhi matlamat kewangan jangka panjang mereka (71 peratus) berbanding dengan generasi lebih tua (57 peratus), namun hanya 40 peratus responden milenial mempunyai pelan kewangan melangkaui satu tahun ke hadapan, sekali meletakkan matlamat kewangan mereka dalam keadaan berisiko.

"Golongan milenial di Malaysia menonjol dalam kajian kami sebagai generasi yang mempunyai tahap kewangan paling berdaya tahan. Sebagai generasi celik teknologi, milenial mempunyai lebih banyak alat yang boleh digunakan untuk merancang kewangan dan berkemungkinan untuk meletakkan asas keputusan mereka berdasarkan penyelidikan.

"Namun demikian, kajian ini juga menonjolkan fenomena membimbangkan bahawa tidak ramai yang mempunyai pelan kewangan jangka panjang bagi memenuhi matlamat hidup mereka.

"Memiliki pelan yang tersusun perlu menjadi keutamaan bagi mereka yang mahu membina masa hadapan kewangan yang selamat, terutamanya dalam landskap pelaburan yang sering berubah dan dinamik hari ini," katanya.

Kaji selidik oleh Sun Life itu juga mendapati bahawa responden yang paling kaya turut memiliki jurang dari segi persediaan, tidak cermat berbelanja dan kurang mempunyai perancangan kewangan jangka panjang.

Ini dibuktikan apabila responden berpendapatan rendah dan tinggi kedua-duanya berkemungkinan berbelanja melebihi bajet bulanan mereka, malah hanya 46 peratus responden berpendapatan tinggi mempunyai pelan kewangan melebihi satu tahun.

Kaji selidik itu turut mendapati hanya 54 peratus responden berpendapatan tinggi dapat menyimpan untuk matlamat jangka panjang sambil memenuhi keperluan jangka pendek, hanya tinggi sedikit berbanding 49 peratus responden berpendapatan lebih rendah.

Indeks Daya Tahan Kewangan Asia Sun Life dibuat untuk memahami cara individu merancang dan mengatasi impak daripada situasi kewangan tidak diduga.

Kaji selidik itu mengukur daya tahan kewangan terhadap lima tonggak iaitu keyakinan, tabiat, perancangan, alat dan sumber.

Ia berdasarkan kaji selidik yang dibuat pada Oktober 2023 di lapan pasaran iaitu Malaysia, Indonesia, China, Hong Kong, India, Singapura, Filipina dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 8:42 AM