Maxis Bhd
Maxis Bhd

Kuala Lumpur: Maxis Bhd menyasarkan pelaburan berjumlah RM813 juta yang akan meningkatkan kapasiti rangkaian mudah alihnya, mengembangkan jejak gentian ke premisnya, dan menambah baik pendigitalan ke seluruh syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, pada penghujung 2023, Maxis mempunyai lebih 11,000 tapak LTE di Malaysia yang meliputi 95 peratus penduduk dan menghubungkan 181,000 premis tambahan dengan infrastruktur gentiannya.

Beliau berkata, syarikat itu sentiasa mengutamakan pengalaman pelanggan kerana ia membezakan mereka dengan syarikat telekomunikasi lain dalam pasaran yang sangat kompetitif.

"Kami terus merekodkan skor promoter bersih yang tinggi sebanyak +68, terima kasih kepada pelanggan kami yang setia dan kepuasan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kami," katanya dalam laporan tahunan Maxis 2023.

Goh berkata, Maxis menambah baik Aplikasi Maxis dan Hotlink bagi membolehkan ciri-ciri seperti meningkatkan pelan, membeli peranti, pas perayauan dan tambah nilai kredit yang boleh diselesaikan dengan hanya klik seminimum mungkin.

Ia juga akan menumpukan kepada interaksi pelanggan secara digital untuk memastikan perkhidmatan yang lebih pantas, lebih mudah diakses dan boleh dipercayai serta yakin Maxis akan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia.

Syarikat juga akan menumpukan kepada mengembangkan perniagaan terasnya iaitu mudah alih, gentian dan perusahaan sambil menyampaikan operasi dengan cemerlang.

Maxis mencatat penurunan keuntungan bersihnya bagi tahun kewangan (TH) berakhir 31 Disember 2023 (TK2023) kepada RM993 juta daripada RM1.15 bilion pada TK2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 8:53 AM