SULAIMAN. FOTO Arkib NSTP
SULAIMAN. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (TK2023) meningkat 15.5 peratus kepada RM1.74 bilion daripada RM1.50 bilion pada TK2022.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AmBank Group berkata hasilnya meningkat 1.6 peratus kepada RM4.74 bilion berbanding RM4.67 bilion sebelumnya, dipacu oleh pendapatan faedah bersih (NII) yang meningkat 8.1 peratus tahun ke tahun (y-o-y) dengan pinjaman berkembang pada 8.5 peratus.

"NII mewakili kira-kira 75 peratus atau RM3.54 bilion daripada jumlah pendapatan. Baki 25 peratus atau RM1.2 bilion adalah daripada pendapatan bukan faedah (NoII), yang menyaksikan penurunan sebanyak RM192.8 juta atau 13.9 peratus tahun ke tahun, terutamanya disebabkan oleh pelupusan AmGen ditambah dengan penurunan pendapatan fi daripada perbankan pelaburan dan pengurusan kekayaan runcit.

"Ini sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan yang lebih kukuh daripada perbendaharaan dan pasaran global, perbankan korporat dan perbankan perniagaan.

"Dengan meneruskan operasi secara berhemat, jumlah pendapatan meningkat 12.4 peratus dibantu oleh NII dan NoII yang menyaksikan pertumbuhan tahun ke tahun yang membanggakan masing-masing sebanyak 11.0 peratus dan 16.9 peratus," katanya dalam satu kenyataan yang berasingan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata TK2023 ditutup pada tahap tinggi, dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti yang kukuh, melalui sumbangan besar daripada majoriti bahagian-bahagian perniagaan utamanya.

Beliau berkata kumpulan itu telah memenuhi dan melepasi matlamat bercita-cita tinggi yang ditetapkan pada awal tahun, termasuk mencapai pulangan ke atas ekuiti sebanyak 10 peratus, mengukuhkan kunci kira-kiranya dan membayar nisbah pembayaran dividen yang lebih baik.

"Saya gembira kerana kami dapat mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 12.3 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tahun ini kepada 18.3 sen atau nisbah pembayaran dividen sebanyak 35 peratus.

"Selepas mengambil kira dividen yang dicadangkan, kami memutuskan TK2023 dengan nisbah modal Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1) syarikat pegangan kewangan (FHC) dengan susunan peralihan (TA) sebanyak 12.51 peratus (TK2022: 12.20 peratus) dan CET1 FHC (tanpa TA) sebanyak 12.10 peratus (TK2022: 11.65 peratus)," katanya.

Sementara itu, AmBank Group berkata nisbah pinjaman terjejas kasarnya meningkat sedikit kepada 1.46 peratus berbanding 1.40 peratus pada TK2022, dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab kawal selia) pada 127.7 peratus berbanding 139.2 peratus pada TK2022.

"Bagi menunjukkan komitmen kami terhadap pengurusan risiko yang proaktif, kami akan terus memantau kadar delinkuen merentas portfolio kredit kami dengan teliti.

"Kami mengambil langkah pencegahan awal untuk mengurus akaun yang menunjukkan tanda-tanda delinkuen, memulakan penstrukturan semula yang diperlukan dan penjadualan semula akaun yang layak sebelum rosot nilai menjadi satu keperluan," katanya.

Bank itu berkata jumlah pinjaman kasar dan portfolio pembiayaannya menyaksikan pengembangan menyeluruh merentas semua segmen perniagaan, meningkat sebanyak 8.5 peratus atau RM10.2 bilion kepada RM130.2 bilion.

Ia berkata pinjaman dalam perbankan runcit meningkat RM4.0 bilion atau 5.8 peratus, perbankan borong naik RM3.6 bilion (11.6 peratus), dan perbankan perniagaan bertambah kepada RM2.5 bilion (13.1 peratus).

Deposit pelanggan berkembang dengan sihat sebanyak 6.3 peratus kepada RM130.3 bilion berbanding TK2022 iaitu pada RM122.6 bilion, terutamanya didorong oleh peningkatan yang stabil dalam deposit runcit, katanya.

"Deposit berjangka meningkat 2.6 peratus tahun ke tahun, manakala baki akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) menunjukkan peningkatan lebih ketara sebanyak 13.2 peratus kepada RM48.8 bilion.

"Hasilnya, campuran CASA bank bertambah baik kepada 37.4 peratus berbanding 35.2 peratus tahun lepas, (manakala) nisbah liputan mudah tunai kumpulan berada pada 149.2 peratus berbanding 158.5 peratus pada TK2022," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 6:01 PM