GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhammad Saufi Hassan

 

 

Syarikat telekomunikasi terkemuka, Maxis meneruskan komitmen untuk mengukuhkan liputan rangkaian 4G dan memberi pengalaman pelanggan terbaik sejajar dengan sasaran program Jalinan Digital Negara (JENDELA).

  Untuk tujuan itu, syarikat berkenaan membina lebih 150 tapak baru dan menaiktaraf lebih 5,500 tapak di pusat pasaran utama di Semenanjung serta Malaysia Timur.

  Pada masa sama, Maxis meraih momentum dalam perkembangan fiber dengan lebih 6,500 premis lulus pada tahun lalu.

  Hasil kejayaan itu, syarikat pengendali telekomunikasi berkenaan sudah mencapai 100 peratus sasarannya dalam JENDELA bagi tahun 2020 dan mempercepat kapasiti dengan penaiktaragan lebih daripada 35 peratus daripada jumlah 16,367 tapak industri.

  Sementara itu, ia juga memanfaatkan kemampuan komunikasi mudah alih, fiber, Internet Tanpa Wayar (WiFi) dan satelit untuk memberi pengalaman rangkaian yang lebih baik ke lokasi pendalaman.

  Maxis akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan industri untuk meningkatkan dan memastikan pelaksanaan JENDELA berjalan dengan lancar di semua negeri.

  Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, pandemik yang melanda memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat dan kini hampir semua orang bergantung kepada teknologi.

  "Ini meningkatkan digitalisasi ke tahap baru, ketika rakyat Malaysia mula memanfaatkan teknologi sepenuhnya daripada kehidupan peribadi, pembelajaran, urusan perniagaan dan menggerakkan ekonomi.

  "Kesalinghubungan menjadi asas perkhidmatan digital dan menyokong gaya hidup digital pengguna dan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan akhbar, sebentar tadi.

  Bagi tahun ini, syarikat telekomunikasi itu akan tetap fokus untuk mengoptimumkan rangkaiannya sebagai persediaan menghapadi peningkatan aliran trafik Internet yang berterusan.

  Maxis terus mempercepat pengembangan liputan 4G ke kawasan luar bandar sebagai sebahagian daripada projek USP serta memperkukuhkan kualiti pengalaman pelanggan di kawasan bandar dengan penaiktarafan tapak mudah alih di beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

  Pada masa yang sama, Maxis akan melancarkan fiber di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Johor yang tertumpu kepada lokasi luar bandar dan terpencil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 12:10 PM