FADILLAH menyampaikan ucapan Anwar pada perasmian Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023. FOTO BERNAMA
FADILLAH menyampaikan ucapan Anwar pada perasmian Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023. FOTO BERNAMA
Mohd Zaky Zainuddin

Kuala Lumpur: Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) membolehkan Malaysia meneroka pasaran hidrogen hijau global bernilai sekurang-kurangnya AS$189.19 bilion (RM824 bilion) menjelang 2050.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan HETR sahaja dijangka dapat menjana pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan anggaran sumbangan antara RM49 bilion hingga RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.

"HETR juga mampu mewujudkan lebih 45,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 2030," katanya merasmikan Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Perdana Menteri berkata, dengan pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang diumumkan baru-baru ini dan HETR, Malaysia bersedia untuk berada di barisan hadapan menjadi peneraju serantau dalam peralihan tenaga dan industri tenaga boleh diperbaharui (RE).

"Pelaksanaan NETR dengan enam pemacu peralihan tenaga dan lima pemboleh dijangka meningkatkan nilai KDNK Malaysia daripada RM25 bilion pada 2023 kepada RM220 bilion dan menjana 310,000 pekerjaan pada 2050," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan sedang memperkukuh rangka kerja dasar dalam menangani perubahan iklim seperti pembangunan Rang Undang-undang Perubahan Iklim, pembangunan Dasar Pasaran Karbon Negara, penyediaan Pelan Hala Tuju Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) dan Strategi Pembangunan Karbon Rendah Jangka Panjang (LTLEDS) serta penyediaan Pelan Adaptasi Nasional.

"Pada Julai lalu, kerajaan mengembalikan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) peruntukan RM1 bilion untuk tempoh sehingga 31 Disember 2025, atau sehingga digunakan sepenuhnya," katanya.

Mula diperkenalkan pada 2009, GTFS menawarkan pinjaman mudah daripada kerajaan dalam sektor tenaga, air, bangunan dan pembinaan, sisa serta pembuatan.

Skim terbabit menawarkan rebat 1.5 peratus ke atas faedah/keuntungan untuk tempoh lima hingga tujuh tahun pertama dengan 60 hingga 80 peratus jaminan kerajaan ke atas pembiayaan.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pengenalan Ekonomi Madani dapat menyusun semula ekonomi untuk menjadikan negara sebagai kuasa ekonomi serantau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 7:02 AM