Pesawat Malaysia Airlines
Pesawat Malaysia Airlines

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines memperluaskan rangkaiannya di Indonesia dengan memperkenalkan penerbangan terus baharu dari Kuala Lumpur ke Kertajati bermula 30 Oktober ini membolehkan pengembara meneroka Bandung dan bandar lain di Barat Jawa.

Ini juga akan menjadikan syarikat penerbangan berkenaan mempunyai sambungan terus ke Indonesia melalui tujuh bandar raya termasuk Jakarta, Denpasar, Medan, Yogyakarta, Pekanbaru dan Surabaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Kumpulan MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, sebagai antara satu daripada lima pasaran terbesar bagi Malaysia Airlines, penambahan Kertajati ke dalam rangkaian bukan hanya akan memberikan keselesaan kepada pengembara, sama ada bagi tujuan riadah atau perniagaan, malah akan turut merangsang pelancongan serta mengukuhkan hubungan dua hala antara dua negara.

"Dengan perkhidmatan baharu ini, pengembara boleh meneroka lebih luas lagi Barat Jawa, dengan sambungan strategik ke Bandung, Cirebon, Majalengka dan banyak lagi.

"Memandangkan permintaan perjalanan global terus mengukuh, kami melihat respon yang positif terhadap laluan Indonesia dengan faktor muatan purata 80 peratus.

"Kami mempelawa pengembara untuk mengambil peluang daripada tambang pengenalan sambil menikmati perkhidmatan 'Malaysian Hospitality' yang dibawa bersama dengan Malaysia Airlines," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi meraikan pelancaran laluan baharu ini, Malaysia Airlines menawarkan tambang pengenalan bagi tempoh terhad sehingga 8 Oktober bagi perjalanan dari 30 Oktober 2023 hingga 29 Mac 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 8:32 AM