Soh
Soh

Kuala Lumpur: Peneraju e-dagang, Shopee, menerbitkan buku Shopee Spotlights Local - Unveiling Malaysian Gems dalam usaha menggalakkan rakyat Malaysia membeli daripada penjual e-dagang tempatan.

Buku itu, yang pertama seumpamanya di negara ini, tersedia kepada orang ramai mulai Hari Kebangsaan.

Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, pihaknya mahu menggalakkan rakyat Malaysia menumpukan kepada produk Buatan Malaysia.

"Kami berbesar hati melihat sokongan yang terus diterima oleh ramai penjual tempatan kami melalui perniagaan dalam talian, dan terus komited untuk bekerjasama dan menyokong mereka dalam perjalanan e-dagang mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Sejajar dengan misi menggunakan teknologi untuk membantu golongan yang kurang mendapat perkhidmatan, Shopee memperkasakan penjual dengan mengenal pasti dan menyerlahkan penjual tempatan untuk akses yang lebih baik kepada penyelesaian pemasaran dan kempen hiperlokal.

Selain itu, menurutnya, ia membantu peniaga meningkatkan pendidikan melalui kursus percuma di Universiti Shopee.

Buku kecil dengan 100 muka surat berwarna itu ialah bahagian pertama. Ia menampilkan penjual Malaysia yang mengatasi halangan untuk berjaya dalam perniagaan dalam talian.

Selain itu, ia menyenaraikan profil penjual di setiap negeri yang berprestasi tinggi dari segi populariti, kedai terbesar, produk hijau, pengeksport, penstriman langsung dan perniagaan milik wanita.

Buku ini juga termasuk kisah perjalanan pengusaha dan testimoni penjual yang menggunakan kejayaan dalam talian mereka untuk menaikkan semangat orang lain dalam komuniti mereka.

Shopee menyasarkan untuk mengedarkan 15,000 salinan percuma buku itu kepada pengguna di semua negeri, menjelang Hari Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 7:01 AM