GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Lebih 145,000 peniaga tempatan berjaya mencapai pertumbuhan jualan sebanyak 25 peratus tahun ke tahun di Shopee dalam tempoh 12 bulan sehingga September 2022, dipacu oleh tahap khidmat pelanggan serta keupayaan kedai yang memberansangkan, kata kajian Pencapaian Shopee Super Awards 2022.

Shopee berkata syarikat itu turut melakukan penyepaduan serta meningkatkan kemahiran lebih daripada 251,000 peniaga tempatan yang memulakan usaha perniagaan secara dalam talian pada tahun ini.

"Ini termasuk lebih daripada 140 peniaga baharu yang mencatat jualan melebihi RM500,000 pada tahun ini.

"Mereka berjaya mengatasi rakan setara dengan tahap penarafan kedai masing-masing lebih 4.8 (daripada markah penuh sebanyak 5), kadar penunaian tepat pada masanya sebanyak 97 peratus dan kadar sembang aau respons dengan pelanggan yang pantas pada 116 minit," kata platform e-dagang itu dalam kenyataan.

Merujuk peniaga jangka panjang, Shopee berkata kemampuan mereka mengekalkan pelanggan setia dan menurunkan kos pemasaran setakat tahun ini, menyaksikan lebih 2,100 penjual tempatan mencatat jualan melebihi RM5 juta sejak beroperasi di platform tersebut.

Bagi tempoh 2021, penjual terbabit mengekalkan penarafan 4.9 (daripada 5), tempoh respons pantas 125 minit manakala 99 peratus mencatat penghantaran tepat pada masanya.

Menurut Shopee, lebih daripada 1,700 penjual tempatan yang mengusahakan jualan barangan asli buatan Malaysia mencatat jualan RM1 juta sejak menyertai pasaran itu susulan kejayaan pelbagai kempen e-dagang tempatan dan platform hiper oleh Shopee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 8:07 AM