MAHMUD (dua dari kanan) serta Tengku Ahmad Badli Shah (dua dari kiri) pada Majlis Menandatangani MoU antara PKNS dan Agrobank di Ibu Pejabat PKNS Shah Alam.
MAHMUD (dua dari kanan) serta Tengku Ahmad Badli Shah (dua dari kiri) pada Majlis Menandatangani MoU antara PKNS dan Agrobank di Ibu Pejabat PKNS Shah Alam.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Agrobank menawarkan pembiayaan kepada usahawan di bawah BizClub PKNS membabitkan peruntukan RM25 juta dalam tempoh dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, pembiayaan itu bakal memberikan manfaat kepada kira-kira 8,000 usahawan pelbagai peringkat yang bernaung di bawah BizClub PKNS.

"Jika RM500,000 (dipohon) bagi setiap pinjaman oleh satu syarikat, kira-kira 50 syarikat boleh mendapat manfaat berkenaan.

"Tetapi bagi usahawan yang baru bermula, mereka tidak perlu sehingga RM500,000, mungkin sekitar RM200,000 hingga RM300,000, jadi kita boleh beri kepada lebih ramai usahawan berkelayakan.

"Sekiranya program ini berjaya, maka Agrobank masih bersedia untuk menambahkan lagi peruntukan yang diberikan," katanya selepas menyempurnakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat PKNS, di sini semalam.

Ia ditandatangani oleh beliau dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Katanya, usahawan yang berminat dengan program pembiayaan berkenaan boleh membuat permohonan bermula sekarang.

"Tawaran pembiayaan terbuka kepada mana-mana usahawan atau bakal usahawan mikro yang berdaftar sebagai usahawan PKNS," katanya.

Menurutnya, Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS sentiasa menyediakan pelbagai program keusahawanan sebagai platform bagi membantu golongan usahawan di bawahnya bagi membuka jaringan perniagaan.

"MoU ini satu lagi usaha PKNS membantu usahawan di bawah seliaan BPU untuk mendapatkan peluang modal tambahan daripada pembiayaan yang ditawarkan oleh Agrobank bagi meningkatkan produktiviti, sekali gus mampu melipat gandakan keuntungan syarikat.

"Selain sektor pembangunan perumahan dan industri, PKNS sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan rakyat khususnya di negeri Selangor yang datang dari pelbagai latar belakang dan klasifikasi pendapatan.

"Justeru, PKNS menerusi BPU sentiasa mempelbagaikan program keusahawanan bagi membantu peniaga ini memulakan perniagaan dan seterusnya mengembangkannya ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 6:00 AM