DR WAN Mohd Hirwani menunjukkan aplikasi ciptaan UKM, Makcik Travels. - Gambar ihsan Dr Wan Mohd Hirwani
DR WAN Mohd Hirwani menunjukkan aplikasi ciptaan UKM, Makcik Travels. - Gambar ihsan Dr Wan Mohd Hirwani

Kuala Lumpur: Dalam usaha membantu universiti menjana pendapatan, Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia/ UKM (Inovasi@UKM) melancarkan program Pemula@UKM.

Pengarah Inovasi@UKM, Prof Madya Dr Wan Mohd Hirwani Wan Hussain berkata, program itu bermula sejak Mac tahun lalu.

Beliau berkata, program itu bagi mengkomersialkan hasil inovasi penyelidik UKM.

Katanya, enam syarikat pemula sudah mengambil bahagian dalam program berkenaan dan membabitkan 10 penyelidik yang menghasilkan pelbagai produk inovasi.

"Program ini juga mendapat sokongan daripada Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) yang mahukan penyelidikan inovasi memberikan manfaat kepada masyarakat.

"Tujuannya adalah membantu mempromosi produk UKM dan menunjukkan kepakaran penyelidik kita (UKM) supaya ia dapat dikomersialkan.

"Mereka yang terbabit adalah warga UKM sendiri bukan hanya penyelidik, tetapi juga penuntut (program) sarjana muda dan sarjana.

"Inisiatif itu secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka mendapat pendedahan (untuk) menjadi usahawan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dr Wan Mohd Hirwani, setakat ini, sudah ada produk inovasi UKM yang sudah dikomersialkan dan menjana pendapatan iaitu aplikasi diberi nama 'MakcikTravels'.

"Aplikasi terbabit mendapat sambutan pengguna wanita boleh mencari peneman dalam kalangan sama jantina untuk ke klinik, hospital dan tempat lain-lain.

"Kewujudan aplikasi itu membuktikan pihak universiti dapat duit untuk buat kajian dan penyelidikan yang mampu memberi impak kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 7:00 AM