ANTARA usahawan tekno yang mengamil bahagian.
ANTARA usahawan tekno yang mengamil bahagian.
Mohamad Hussin

Pembangunan usahawan teknologi adalah faktor utama dalam menyokong peralihan sektor ekonomi kepada aktiviti berintensif pengetahuan dan inovasi.

Inisiatif Innohub diketengahkan universiti awam (UA) dilihat sebagai pemangkin dalam mewujudkan ekosistem yang menyokong syarikat ‘start-up’ secara berterusan bagi membantu memastikan kejayaan pengkomersialan inovasi.

Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kebanyakan syarikat yang ingin memulakan khususnya mengkomersialkan teknologi dan inovasi, gagal mencapai kejayaan dalam perniagaan.

Beliau berkata, kajian National Business Incubation Association (NBIA) menunjukkan hanya 44 peratus syarikat terbabit berjaya selepas empat tahun menjalankan perniagaan berbanding 87 peratus yang berjaya apabila mereka melalui program inkubasi.

“Kementerian memahami syarikat yang ingin memulakan ini memerlukan lebih banyak sokongan dan bantuan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat global.

“Kami akan menyokong dan memberi bantuan dalam pelbagai aspek untuk memastikan lebih ramai usahawan tekno dapat dilahirkan yang akan menjadi pemacu ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Showcase Inovasi Innohub Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

 SEBAHAGIAN usahawan tekno beramah mesra bersama Mohd Redzuan (tengah) dan Aini (lapan dari kiri).
SEBAHAGIAN usahawan tekno beramah mesra bersama Mohd Redzuan (tengah) dan Aini (lapan dari kiri).

Turut hadir, Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Pengarah Putra Science Park (Pusat Inovasi dan Pengkomersialan) UPM Prof Dr Samsilah Roslan.

Mohd Redzuan berkata, kejayaan program Innohub ini akan menjadi aspirasi dalam membina platform bagi mempromosi dan memacu pengkomersialan harta intelek universiti.

Sementara itu, Aini berkata, pengkomersialan adalah agenda penting UPM sejajar dengan Pelan Transformasi UPM 2025, yang menyasarkan pemantapan penyelidikan dan pembangunan (R&D) inovasi.

“Universiti sentiasa memikirkan secara serius cara memastikan impak penyelidikan kita melewati tuntutan akademik. Iaitu untuk merancakkan lagi pemindahan ilmu dan kepakaran supaya hasil penyelidikan dapat dikongsi dengan masyarakat.

“Untuk membolehkan sesuatu inovasi dikomersialkan, UPM merintis kaedah pengkomersialan inovatif melalui penubuhan Hab Validasi Pasaran, InnoHub.

“InnoHub ditubuhkan pada 2013, bertujuan menjalankan validasi pasaran bagi teknologi R&D supaya dapat dibuktikan ia adalah inovasi yang dapat menyelesaikan masalah sasaran pengguna dan pembeli,” katanya.

Menurutnya, sejak program Innohub ini dilaksanakan, bilangan pemindahan teknologi UPM dapat ditingkatkan hingga dua kali ganda.

“Kesukaran untuk menjayakan pemindahan teknologi ini memang sudah diketahui dan peningkatan dua kali ganda adalah peningkatan yang luar biasa.

“Kita juga berjaya mencapai sasaran produk dikomersialkan iaitu produk yang benar-benar mencapai sasaran pengeluaran pada skala komersial dan dapat dimanfaatkan jumlah yang besar dalam kalangan pengguna,” katanya.

MOHD Redzuan tertarik melihat pameran yang disediakan.
MOHD Redzuan tertarik melihat pameran yang disediakan.

INNOHUB

• Dana pelaburan daripada pelbagai agensi melebihi RM7.8 juta

• Menyumbang kepada pelesenan melebihi RM700,000 kepada UPM

• Melahirkan peluang pekerjaan baru melebihi 50 modal insan (sebagai usahawan teknologi) yang mampu untuk menerajui perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 1:14 PM