DR Saidatul Nadia (kiri) menerangkan kemudahan Hijabbib untuk peguam wanita kepada Dr Wan
DR Saidatul Nadia (kiri) menerangkan kemudahan Hijabbib untuk peguam wanita kepada Dr Wan
Suliati Asri


Bangi: Masalah keciciran bib yang sering dialami peguam Muslimah dapat diatasi melalui inovasi terbaru hasil ciptaan sekumpulan penyelidik Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Hijabbib.

Hijabbib adalah tudung pertama dicipta khusus yang menggabungkan antara hijab dan bib yang wajib dipakai ketika menghadiri prosiding mahkamah.

Ketua penyelidiknya, Dr Saidatul Nadia Abd Aziz berkata, revolusi fesyen tudung dua dalam satu ini bukan saja sesuai dipakai ketika di mahkamah malah untuk kegunaan harian.

Menurutnya, tercetusnya idea revolusi tudung dua dalam satu itu ketika beliau dan penyelidik bersama Prof Madya Dr Shahrul Mizan Ismail serta Dr Mohd Zamre Mohd Zahir berbincang dan berkongsi pengalaman mereka.

"Saya sebenarnya seorang peguam sebelum menjadi ahli akademik dan kerap kali tertinggal bib ini semasa menghadiri perbicaraan.

"Jadi, bila kita duduk berbincang bersama-sama, maka tercetuslah idea untuk menggabungkan bib ini dengan tudung supaya ia boleh disarungkan terus tanpa perlu banyak lapis.

"Selain itu Hijabbib ini juga mempunyai ukuran tertentu yang mengikut piawaian profesion guaman. Jadi, ia sangat memudahkan peguam," katanya.

Dr Saidatul Nadia berkata, walaupun menggabungkan tudung, bib dan selendang, istimewanya Hijabbib itu adalah ia menggunakan kain premium dan sejuk.

Bukan itu saja, Hijabbib bukan saja boleh digunakan sebagai bib, tetapi boleh digayakan dengan pelbagai gaya serta fesyen menarik terkini, sekali gus memudahkan peguam Muslimah zaman sekarang yang menitik beratkan fesyen, ketrampilan dan profesionalisme.

"Hijabbib menawarkan tiga kaedah pemakaian unik yang turut boleh digunakan day in, day out di luar mahkamah dan ia juga adalah patuh syariah.

"Gaya pertama adalah gaya peguam Muslimah yang perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah. Gaya kedua peguam masih boleh menggunakan Hijabbib walaupun sudah habis prosiding namun menukar gaya dengan mengikat bib sebagai reben dan menggayakan selendang dengan bebas.

"Untuk gaya ketiga, seorang peguam itu bebas menggayakan Hijabbib sebelum atau selepas perbicaraan di mahkamah di mana peguam boleh menutup secara keseluruhan bahagian bib jika tidak diperlukan," katanya.

Seorang peguam juga bebas untuk menggayakan Hijabbib mengikut kreativiti sendiri dan menggayakan mengikut cita rasa masing-masing. Secara keseluruhan Hijabbib mementingkan keselesaan dan kemudahan memastikan pemakainya selesa sepanjang hari.

Material yang digunakan juga adalah daripada jenis fabrik mudah gosok, sejuk dan berkualiti tinggi sesuai dengan ketrampilan seorang peguam Muslimah.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani berkata, sebagai salah satu universiti penyelidikan, UKM sememangnya menggalakkan aspek inovasi baharu terutama berkaitan bidang masing-masing.

Justeru, katanya pelancaran Hijabbib ini adalah sangat membanggakan kerana ia bukan saja yang pertama seumpamanya, tetapi berjaya memperoleh anugerah khas perintis inovatif dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan MyRA®2022.

"Pihak universiti berharap dengan pelancaran produk inovasi Hijabbib ini, lebih ramai lagi penyelidik akan turut sama dalam memberi sokongan dan komitmen untuk bersama-sama meningkatkan lagi kesedaran warga penyelidik UKM terhadap peranan menghasilkan produk yang berinovasi tinggi dan kompetitif dalam pasaran," katanya.

Pelancaran HIJABBIB adalah kerjasama antara Pusat Pemindahan Teknologi (INOVASI@UKM™) dan Fakulti Undang-Undang untuk meningkatkan ketampakan (visibility) produk dan menyumbang kepada pengkomersialan produk UKM.

INOVASI@UKM™ memainkan peranan untuk menguruskan harta intelek, pemindahan teknologi dan pengkomersialan hasil penyelidikan di UKM bagi di pasaran yang lebih kompetitif.

Dengan mendukung prakarsa Inovasi di bawah Pelan Strategik T.E.R.A.S UKM, Pusat Inovasi akan meneraju pembangunan inovasi melalui pembudayaan aktiviti penyelidikan yang memiliki nilai tambah dari aspek kebaharuan (novelty) dan kebolehpasaran output penyelidikan.

Selain itu, INOVASI@UKM turut mengiktiraf sumbangan penyelidik daripada pelbagai bidang dalam penghasilan harta intelek yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Antara platform yang tersedia di INOVASI@UKM untuk pemindahan teknologi UKM kepada industri adalah syarikat start-up (PEMULA@UKM), suntikan Dana Inovasi dan Dana Lab-to-Market.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 6:52 PM