AirAsia menjangkakan untuk menerbangkan lebih 600,000 tetamu dalam beberapa bulan akan datang.
AirAsia menjangkakan untuk menerbangkan lebih 600,000 tetamu dalam beberapa bulan akan datang.

AirAsia menjangkakan untuk menerbangkan lebih 600,000 tetamu dalam beberapa bulan akan datang untuk memenuhi permintaan khususnya bagi laluan ke China.

Sejak Februari lalu, ia telah menerbangkan hampir 20,000 tetamu antara Malaysia dan China dan jumlah berkenaan dijangka bertambah selepas ini.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Karen Chan berkata, Asean adalah pasaran teras Kumpulan apabila jenama dan kedudukan AirAsia berada di tahap yang paling kukuh.

"Sepanjang tahun lalu, kami telah melihat permintaan tinggi untuk pelbagai destinasi termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia, yang semuanya merupakan destinasi percutian kegemaran ramai.

"Penyambungan semula penerbangan kami ke China baru-baru ini juga mendapat sambutan hangat dan kami menjangkakan untuk menerbangkan lebih 600,000 tetamu dalam beberapa bulan akan datang apabila menambah perkhidmatan untuk memenuhi permintaan dari destinasi berkenaan," katanya.

Menurutnya, dengan memiliki jumlah pesawat terbesar dan rangkaian terluas di rantau ini, ia membolehkan pihaknya memberikan lebih penjimatan kepada tetamu.

"Kami mensasarkan keseluruhan pesawat kami akan kembali terbang sebelum penghujung 2023.

"Kerana itu kami dapat menawarkan 10 juta tempat duduk pada kali ini untuk membolehkan orang ramai merancang percutian akhir tahun dan tahun baharu mereka lebih awal pada tambang rendah, kerana AirAsia mampu melakukannya," katanya.

AirAsia kini sedang menjalankan kempen Jualan Tempat Duduk percuma dengan 10 juta tempat duduk ditawarkan ke pelbagai destinasi di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 7:15 AM