Sepang: AirAsia dan AirAsia X menawarkan potongan 20 peratus dari harga tambang asas bagi semua tempat duduk dan semua penerbangan ke lebih dari 100 destinasi dalam jaringan rangkaian yang merangkumi 20 negara tanpa surcaj bahan api.

Tawaran hebat ini boleh mula ditempah melalui laman airasia.com bermula 3 hingga 8 Mac dengan tempoh perjalanan segera dari 5 Mac hingga 12 Julai ini termasuk bagi kesemua penerbangan AirAsia dan AirAsia X dengan kod penerbangan AK (Malaysia AirAsia), D7 (Malaysia AirAsia X), FD (Thailand AirAsia), XJ (Thailand AirAsia X), QZ (Indonesia AirAsia) kecuali penerbangan domestik Indonesia, XT (Indonesia AirAsia Extra), Philippines AirAsia (PQ) dan AirAsia Zest (Z2).

Potongan 20 peratus juga boleh didapati menerusi tempahan melalui applikasi mudah alih AirAsia bagi iPhone dan peranti Android, begitu juga dengan laman mudah alih mobile.airasia.com.

Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu mempunyai jaringan destinasi terbesar di rantau ini dan yakin promosi potongan 20 peratus bagi kesemua tempat duduk dan semua penerbangan akan meningkatkan lebih banyak permintaan untuk penerbangan terutama dengan kemudahan ditawarkan.

“Ini peluang terbaik bagi penumpang merancang percutian idaman ke destinasi menarik di serata Asia dan Australia dari percutian pantai di Phuket, membeli-belah di Hong Kong, pencarian makanan terbaik di Pulau Pinang atau percutian di Bandar Busan,” katanya.

Sebagai rakan kerjasama potongan istimewa ini, Kad AirAsia Big Loyalty dan pemegang kad prabayar BIG Prepaid Master Card boleh mengumpul mata apabila terbang bersama AirAsia dan juga menebus penerbangan sepanjang tempoh promosi ini di AirAsiaBig.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:14 AM