Alias Abd Rani


New Delhi: Syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh, AirAsia X melebarkan rangkaian penerbangan antarabangsa melalui pengenalan laluan baru dari Kuala Lumpur ke New Delhi, India, bermula kelmarin.

Penerbangan sulung D7182 menggunakan pesawat Airbus A330-343 dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke New Delhi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indra Gandhi, New Delhi tepat 10 malam waktu tempatan.

New Delhi adalah destinasi antarabangsa ke-19 dikendalikan AirAsia X dengan menawarkan tambang serendah RM459 sehala bagi kelas ekonomi manakala kelas premium RM999.

Penerbangan ini dilakukan empat kali seminggu iaitu Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad, Benyamin Ismail berkata, pihaknya teruja meraikan penerbangan AirAsia X ke New Delhi.

"Kami mempunyai asas yang kukuh untuk berada dalam pasaran ini, melengkapkan rangkaian laluan yang sedia ada oleh syarikat sekutu kami iaitu AirAsia Berhad, Thai AirAsia dan AirAsia India.

"Malah, pembukaan laluan baru ini memenuhi permintaan semakin meningkat bagi rangkaian antara New Delhi dan Kuala Lumpur.

"Kami turut merancang memperluaskan rangkaian lebih luas ke Australia dan Asia Utara melalui Kuala Lumpur.

"Tahun lalu, AirAsia Berhad dan Thai AirAsia menerbangkan lebih sejuta penumpang keluar masuk dari India. Dengan kehadiran AirAsia X dalam pasaran ini, kami mampu menyediakan rangkaian lebih luas terutama penumpang dari India ke seluruh Asia dan Australia melalui perkhidmatan penerbangan sambungan (Fly-Thru)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran penerbangan AirAsia X ke New Delhi di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Naimun Ashakli Mohammad.

Hadir sama, Pengarah Tourism Malaysia India Utara, Amran Abdul Rahman.

Selain New Delhi, AirAsia X turut mempunyai penerbangan laluan jarak jauh antaranya Jepun, Korea Selatan, China, Nepal, Taiwan dan Jeddah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 4:52 PM
BENYAMIN (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Naimun Ashakli (tengah) dan Amran (dua dari kanan). FOTO Alias Abd Rani
BENYAMIN (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Naimun Ashakli (tengah) dan Amran (dua dari kanan). FOTO Alias Abd Rani