Dr Mohd Uzir Mahidin
Dr Mohd Uzir Mahidin
BERNAMA

Kuala Lumpur: Inflasi Malaysia mereda kepada 3.8 peratus pada Disember 2022 berbanding 4.0 peratus pada November 2022 didorong oleh kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menjelaskan bagaimanapun inflasi bagi keseluruhan tahun 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding dengan 2.5 peratus yang dicatatkan pada 2021.

Jabatan itu menambah, mata Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan 129.2 pada Disember 2022, berbanding 124.5 pada bulan sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol kepada 6.8 peratus berbanding pada bulan sebelumnya (7.3 peratus) menyumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi negara.

"Ini diikuti oleh kumpulan pengangkutan (4.9 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.7 peratus) yang turut merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding pada November 2022.

"Namun begitu, restoran dan hotel terus menunjukkan peningkatan kepada 7.4 peratus berbanding November 2022 (7.0 peratus)," katanya dalam kenyataan mengenai Indeks Harga Pengguna, Malaysia Disember 2022 yang dikeluarkan DOSM, pada Jumaat.

Mohd Uzir berkata peningkatan inflasi bagi keseluruhan tahun 2022 didorong terutama oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.8 peratus), restoran dan hotel (5.0 peratus) serta pengangkutan (4.7 peratus).

"Konflik antara Rusia dan Ukraine serta kenaikan harga komoditi global pada 2022 sudah menyumbang kepada kenaikan inflasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 5:12 PM