PENINGKATAN perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol sumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi negara. - Gambar NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
PENINGKATAN perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol sumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi negara. - Gambar NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
BERNAMA

INFLASI Malaysia mereda kepada 3.8 peratus pada Disember 2022 berbanding 4.0 peratus pada November 2022 didorong oleh kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menjelaskan bagaimanapun inflasi bagi keseluruhan tahun 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding dengan 2.5 peratus yang dicatatkan pada 2021.

Jabatan itu menambah, mata Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan 129.2 pada Disember 2022, berbanding 124.5 pada bulan sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol kepada 6.8 peratus berbanding pada bulan sebelumnya (7.3 peratus) menyumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi negara.

"Ini diikuti oleh kumpulan pengangkutan (4.9 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.7 peratus) yang turut merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding pada November 2022.

"Namun begitu, restoran dan hotel terus menunjukkan peningkatan kepada 7.4 peratus berbanding November 2022 (7.0 peratus)," katanya dalam kenyataan mengenai Indeks Harga Pengguna, Malaysia Disember 2022 yang dikeluarkan DOSM, Jumaat lalu.

Mohd Uzir berkata, peningkatan inflasi bagi keseluruhan tahun 2022 didorong terutama oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.8 peratus), restoran dan hotel (5.0 peratus) serta pengangkutan (4.7 peratus).

"Konflik antara Rusia dan Ukraine serta kenaikan harga komoditi global pada 2022 sudah menyumbang kepada kenaikan inflasi," katanya.

Beliau berkata, sementara itu, inflasi bagi suku keempat 2022 meningkat 3.9 peratus kepada 128.9 berbanding 124.1 pada suku sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahunan pula, inflasi mencatatkan peningkatan 0.6 peratus berbanding suku ketiga 2022, katanya.

"Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Disember 2022 mereda kepada 0.2 peratus berbanding 0.3 peratus pada November 2022. Ini disumbangkan terutama oleh kumpulan restoran dan hotel (0.7 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (0.5 peratus)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 6:05 AM