Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kumpulan Touch 'n Go (TNG) melalui Touch 'n Go eWallet komited memerangi kegiatan penipuan kewangan atau scam dengan menjadi e-dompet pertama dan satu-satunya dalam negara ketika ini memperkenalkan langkah keselamatan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni berkata, inisiatif itu dilaksanakan dengan menggabungkan lima langkah utama dikenakan ke atas bank oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut Alan, lima strategi itu akan dilaksanakan menjelang suku pertama tahun depan.

"Keselamatan akaun dalam talian mereka menjadi kebimbangan utama dalam kalangan orang awam apabila mereka menggunakan e-dompet dan saluran digital lain untuk membuat pembelian serta transaksi.

"Oleh kerana itu, Touch 'n Go eWallet tampil menjadi syarikat penyedia e-dompet pertama dan satu-satunya di Malaysia yang menggabungkan langkah keselamatan menerusi lima strategi.

"Pertama dengan beralih daripada penggunaaan kata laluan sekali Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat dan kedua menerusi peraturan penipuan dan sekatan transaksi mencurigakan," katanya ketika sesi taklimat bersama media di sini, hari ini.

Katanya, langkah ketiga untuk mengukuhkan keselamatan adalah dengan pengesahan dan pelaksanaaan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama perkhidmatan, peranti selamat atau dokumen profil.

"Keempat dengan mengehadkan pengesahan e-transaksi kepada satu peranti mudah alih atau peranti selamat bagi setiap pemegang akaun.

"Akhir sekali menerusi saluran perkhidmatan pelanggan yang berdedikasi dan talian hotline untuk laporan insiden dan syak wasangka penipuan dan penipuan.

"Piawaian keselamatan itu dijangka meningkatkan lagi perlindungan terhadap urus niaga penipuan dan dalam proses itu mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan rakyat termasuk peniaga, dan komuniti eWallet berhubung keselamatan Touch 'n Go eWallet," katanya.

Menurutnya, selain lima strategi berkenaan, bermula hari ini, Touch 'n Go eWallet menjadi e-dompet pertama yang menjadi sebahagian daripada Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan.

Menerusinya, pengguna boleh membuat aduan secara terus kepada TNG tanpa menghantar kiriman e-mel yang mungkin mengambil masa lama.

"Menurut angka dari Bursa Malaysia, kerugian daripada penipuan yang dilaporkan berjumlah RM5.2 bilion dalam tempoh dua tahun semasa pandemik Covid-19 malah terdapat banyak lagi yang tidak dilaporkan.

"TNG sangat menitikberatkan ciri privasi dan keselamatan untuk menjaga kepentingan pengguna kami.

"Jadi, kami percaya langkah diperkenalkan akan memberikan pengguna ketenangan fikiran bahawa wang dalam e-dompet mereka dilindungi dan setiap transaksi dilakukan adalah selamat dan terjamin.

"Diharap usaha itu membawa kami dekat dengan lebih ramai pengguna dalam negara ini kerana mereka menggunakan Touch 'n Go eWallet dalam kehidupan seharian, selaras dengan visi kami untuk membina masyarakat yang lebih celik kewangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Alan memaklumkan pengguna Touch 'n Go eWallet boleh melakukan transaksi dengan baki e-dompet dalam akaun mereka menggunakan kad Visa.

"Pengguna kad Visa boleh menikmati manfaat itu di mana-mana negara mereka lawati seluruh dunia.

"Mengikut jangkaan, perkhidmatan itu akan bermula pada pertengahan bulan depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 3:28 PM