(DARI kiri) Effendy bersama Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Ignatius Ong, Ketua Pegawai Eksekutif AIA General Berhad Eric Chang dan Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd Ben Ng ketika memperkenalkan WalletSafe. FOTO ihsan Touch ‘n Go Group
(DARI kiri) Effendy bersama Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Ignatius Ong, Ketua Pegawai Eksekutif AIA General Berhad Eric Chang dan Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd Ben Ng ketika memperkenalkan WalletSafe. FOTO ihsan Touch ‘n Go Group
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Touch 'n Go Group melalui TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital), pemilik dan pengendali Touch 'n Go eWallet dan AIA Malaysia (AIA) menjalinan kerjasama strategik dengan pelancaran produk kolaborasi pertama mereka, WalletSafe, pada harga pengenalan RM1.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch 'n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, ketika pandemik ini, peningkatan permintaan untuk transaksi tanpa tunai sudah menyebabkan peningkatan penggunaan e-dompet.

"Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia, transaksi e-dompet telah meningkat sebanyak 131 peratus pada 2020 membabitkan 0.6 bilion transaksi, berbanding 0.3 bilion transaksi pada 2019.

"Selain itu, lebih banyak pedagang telah mendaftar untuk menerima e-pembayaran dengan pembayaran kod Tindak Balas Pantas (QR).

"Touch 'n Go eWallet sudah diterima di lebih daripada sejuta titik penerimaan pedagang DuitNow QR.

"Memandangkan terdapat kenaikan jumlah transaksi, salah satu isu utama yang sering dikhuatiri pengguna adalah soal keselamatan dan ia satu kebimbangan yang ingin ditangani oleh Touch 'n Go dan AIA Malaysia melalui pengenalan WalletSafe," katanya dalam kenyataan.

WalletSafe ialah pelan insurans selama enam bulan yang melindungi pengguna Touch 'n Go eWallet sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau Covid-19 dan membayar sehingga 10 kali ganda baki amaun Touch 'n Go eWallet (maksimum RM25,000).

Ia juga menyediakan perlindungan tambahan untuk transaksi tidak sah yang dilakukan melalui akaun eWallet dan GO+ pengguna, sehingga RM25,000.

Kesemua perlindungan ini ditawarkan sebagai tambahan kepada manfaat Money-back Guarantee yang disediakan oleh Touch 'n Go eWallet.

Pengguna boleh membeli produk ini secara terus dari Touch 'n Go eWallet dan akan diinsuranskan dengan serta-merta.

Effendy berkata, WalletSafe adalah produk pertama di pasaran yang mengikat perlindungan insurans dengan baki eWallet.

"Melalui penggunaan teknologi dan inovasi secara efektif, bersama-sama dengan AIA Malaysia, kami dapat memberikan nilai yang lebih tinggi serta tawaran produk yang direka khusus buat pengguna.

"Tambahan pula, produk ini bukan hanya membolehkan para pengguna menikmati ketenangan fikiran, tetapi juga menggalakkan mereka untuk menabung melalui GO+ kerana mengetahui bahawa mereka mendapat perlindungan yang lebih tinggi sebanyak RM25,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 4:53 PM