Bisnes HM

[email protected]

Kuala Lumpur: Media Prima Bhd (Media Prima), kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia meraih Anugerah Kecemerlangan Industri untuk Pendedahan Tadbir Urus bersempena Anugerah Tadbir Urus Korporat MSWG-Asean 2021.

Media Prima menerusi kenyataan berkata, anugerah daripada Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti Bhd (MSWG) adalah kemenangan kedua berturut-turut sejak dianugerahkan 'Kecemerlangan Industri' dalam Sektor Telekomunikasi dan Media di Anugerah Tadbir Urus Korporat MSWG-Asean 2020.

Media Prima juga disenaraikan dalam Senarai 100 Syarikat Teratas untuk Pendedahan CG 2021, meningkat daripada tempat ke-32 ke 29.

Sejak 2012, Anugerah Tadbir Urus Korporat MSWG-Asean mengiktiraf pelaksanaan tadbir urus korporat yang baik dalam kalangan syarikat senarai awam di Malaysia.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, Media Prima berbangga kerana disenaraikan antara yang terbaik di Malaysia dan rantau ini atas komitmen bagi menekankan tahap tertinggi dalam tadbir urus korporat.

"Kami berbesar hati menerima anugerah ini daripada MSWG dan kami kekal komited bagi memenuhi piawaian yang terbaik kepada tadbir urus korporat dan tanggungjawab korporat.

"Kami ingin merakamkan penghargaan kami kepada MSWG atas pengiktirafan ini," katanya.

Untuk Anugerah Tadbir Urus Korporat 2021, MSWG menilai 864 syarikat senarai awam Malaysia berdasarkan metodologi Asean CG Scorecard dan maklumat yang tersedia secara umum termasuk laporan tahunan, laporan tadbir urus korporat dan laporan kelestarian.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, anugerah itu adalah penghormatan buat kumpulan diberikan anugerah oleh MSWG kerana Media Prima sentiasa memberi tumpuan terhadap tadbir urus yang baik dalam memastikan kelestarian perniagaan dan meningkatkan nilai pemegang saham.

"Kami juga adalah syarikat konstituen Siri Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia yang mengesahkan lagi komitmen ini oleh lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan kami.

"Media Prima memainkan peranan penting dalam masyarakat dan kita mesti memimpin dalam memastikan standard CG (tadbir urus korporat) yang kukuh," katanya.

Selain anugerah itu, Media Prima sudah diiktiraf dalam 'Indeks Kepelbagaian Lembaga 10 Syarikat Terbaik Malaysia' oleh Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM) dan Willis Towers Watson.

Pada Anugerah Persatuan Perhubungan Pelabur (Mira) 2020, Media Prima sudah dianugerahkan Profesional IR Terbaik untuk Perhubungan Pelabur (Small-Cap).

Media Prima juga sudah merangkul Emas di Australasian Reporting Awards 2020.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 2:57 PM