Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima), peneraju kumpulan pelaburan media bersepadu sepenuhnya menerima pengiktirafan untuk kategori Pendedahan dan Ketelusan Terbaik dan Hubungan Pelabur Terbaik dalam Tinjauan Urus Tadbir Korporat 2014 Asiamoney pada Majlis Anugerah Asiamoney di Hong Kong, baru-baru ini.

Media Prima menduduki tempat kedua dalam kalangan syarikat Malaysia bagi kategori Urus Tadbir Korporat Keseluruhan Terbaik, Pengurusan Tanggungjawab dan Lembaga Pengarah Terbaik dan Hak Pemegang Saham dan Layanan Saksama Terbaik.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata Media Prima konsisten diiktiraf antara syarikat terbaik di Malaysia dan serantau dalam Tinjauan Urus Tadbir Korporat Asiamoney sejak empat tahun lalu dan pengiktirafan kali ini satu lagi pencapaian besar bagi Kumpulan.

“Kami terus komited dalam melaksanakan dan mengamalkan standard yang terbaik untuk urus tadbir korporat dan tanggungjawab korporat,” katanya pada satu kenyataan di sini, semalam.

Majalah kewangan antarabangsa Asiamoney menjalankan Tinjauan Urus Tadbir Korporat setiap tahun melalui maklum balas yang diperoleh daripada 322 penganalisis dan pelabur dengan tinjauan itu memerlukan peserta membuat keputusan berdasarkan bidang seperti pendedahan dan ketelusan, pendedahan maklumat paling tepat pada waktu dalam semua perkara membabitkan perbadanan, maklumat dalam laporan kewangan dan pendedahan maklumat urus tadbir koroprat.

Kaji selidik itu turut menilai syarikat di seluruh rantau ini dengan peningkatan tahap ketelusan, hak pemegang saham dan hubungan pelabur yang bertambah baik dalam tempoh 12 bulan.

Selain Tinjauan Urus Tadbir Asiamoney, Media Prima terpilih dalam kalangan beberapa syarikat Malaysia yang memenuhi standard diiktiraf global untuk disenaraikan dalam Index FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) di mana ia digunakan untuk mengukur prestasi syarikat dalam melaksanakan amalan persekitaran dan urus tadbir serta sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:10 AM