Ketua Pegawai Kewangan Agrobank, Kamarul Azman Kamarozaman @Amir (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Datuk Fad’l Mohamed di Majlis Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A bagi 2022.
Ketua Pegawai Kewangan Agrobank, Kamarul Azman Kamarozaman @Amir (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Datuk Fad’l Mohamed di Majlis Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A bagi 2022.

Kuala Lumpur: Kecemerlangan Agrobank dalam pengurusan Kewangan Islam terus diiktiraf apabila diumumkan sebagai pemenang anugerah "Bank Sukuk Terbaik Kategori Malaysia" di Anugerah Kewangan Islam, The Asset Triple A, bagi tahun 2022.

Anugerah ini adalah bukti kejayaan penetapan harga Program Sukuk Wakalah sulung Agrobank bernilai RM500 juta berdasarkan prinsip Islam Wakalah Bi Al-Istithmar yang dilancarkan pada 18 Oktober 2021.

Kejayaan terbitan ini juga telah meletakkan identiti jenama Agrobank sebagai entiti yang dipacu oleh perniagaan dengan mewujudkan platform untuk mengoptimumkan struktur modalnya secara proaktif yang selaras dengan misi, visi dan strategi perniagaannya.

Dalam reaksinya kepada penganugerahan itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya bangga menerima anugerah ini kerana ia mencerminkan usaha inovatif yang diambil oleh Bank dalam menjalankan perniagaannya, baik dari segi kewangan mahupun operasi.

"Pasukan kewangan kami, khususnya, harus dipuji kerana telah

memastikan program Sukuk ini dan penerbitannya berjaya.

"Anugerah ini mewakili pengiktirafan kewangan utama bagi Agrobank kerana anugerah ini adalah dikhususkan kepada organisasi terpilih dan penting kepada pembangunan Malaysia sebagai pasaran Sukuk Asia yang terkemuka.

" Ia juga menandakan komitmen Agrobank dalam meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global dan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam global," katanya.

Ketua Pegawai Kewangan Agrobank, Kamarul Azman Kamarozaman @Amir menerima anugerah berkenaan daripada Pengarang Urusan The Asset, Chito Santiago pada majlis anugerah yang berlangsung baru-baru ini.

Agrobank mengemukakan tawaran dual-tranche sulungnya kepada pasaran pada Sukuk lima dan tujuh tahun yang memperoleh penetapan masing-masing pada 51 dan 49 mata asas.

Buku itu ditutup pada tahap sangat kompetitif iaitu 3.63 peratus setahun untuk Sukuk lima tahun dan 3.9 peratus setahun bagi Sukuk tujuh tahun, walaupun menghadapi persekitaran pasaran yang mencabar.

Sasaran ini dicapai selepas penetapan harga di antara empat hingga enam mata asas merentasi tempoh daripada panduan harga awal.

Terbitan sulung itu menyaksikan tempahan kukuh daripada pelabur berkualiti yang terdiri daripada agensi kerajaan, institusi kewangan, syarikat pengurusan aset dan syarikat insurans yang mengakibatkan lebihan langganan jumlah yang ditawarkan.

Program Sukuk Wakalah telah diberi penarafan AAA oleh Malaysian Rating Corporation Berhad.

Maybank Investment Bank telah bertindak sebagai Penasihat Utama Tunggal, Pengatur Utama Tunggal dan Pengurus Utama Tunggal bagi Program Sukuk Wakalah untuk Agrobank.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 5:03 PM