Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menerima sambutan memberangsangkan daripada pelabur pelbagai latar belakang, menerusi proses pelaksanaan penetapan harga Sukuk Murabahah Subordinat bernilai RM300 juta, baru-baru ini.

Sukuk yang bakal diterbitkan pada 20 Julai, 2022, telah ditetapkan pada harga kompetitif 5.33 peratus, kata bank itu dalam kenyataannya hari ini.

Proses penetapan harga itu juga berjaya mencatatkan nisbah bidaan kepada terbitan (BTC) tinggi sebanyak 2.31 kali sebelum ditutup pada 1.85 kali membabitkan cadangan saiz terbitan dengan penyertaan pelabur baharu.

Sukuk Murabahah Subordinat bernilai RM300 juta itu adalah terbitan siri ketiga di bawah Program Murabahah Sukuk Murabahah Subordinat 20 tahun Bank Muamalat (2016/2036) yang layak sebagai modal Tahap-2 di bawah Dokumen Dasar Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Rangka Kerja Kecukupan Modal untuk Komponen Modal Bank Islam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Kamarudin menyifatkan minat terhadap sukuk terbabit sebagai menggambarkan keyakinan pasaran terhadap asas serta hala tuju strategik bank tersebut yang kukuh.

"Hasil yang terkumpul itu akan dimanfaatkan untuk aktiviti perbankan Islam dan keperluan modal kerja kami, sekali gus dapat meletakkan Bank Muamalat dalam kedudukan lebih kukuh bagi pertumbuhannya secara berterusan," katanya.

Menurut kenyataan itu, pengurus utama bersama sukuk terbabit telah menerima tempahan daripada pelbagai pelabur termasuk yang mewakili institusi kewangan, syarikat pengurusan aset, agensi kerajaan, syarikat insurans dan juga pelabur dengan nilai bersih yang tinggi.

Bank Muamalat merupakan penasihat utama, pengatur utama dan pengurus utama bersama OCBC Al-Amin Bank Bhd manakala pengurus utama bersama lain termasuk Bank Islam Malaysia Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd.

Dalam kenyataan berasingan, Khairul berkata agensi penarafan MARC Ratings juga baru-baru ini telah menaik taraf penarafan institusi kewangan bank itu kepada A+/MARC-1 dan pada masa sama menaikkan penarafan Program Nota Senior Islam (Sukuk Senior) bank berkenaan sehingga RM2 bilion kepada A+IS dengan prospek stabil.

Langkah itu adalah berteraskan kepada peningkatan berterusan Bank Muamalat dalam prestasi kewangannya, terutama aspek kualiti aset dan metrik keuntungan yang seiring dengan bank lain dalam lingkungan penarafan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 1:45 PM