Noraida   (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi Pejabat Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek (dua dari kanan), Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah  PKNS, Azmi Adnan (dua dari kiri) melancarkan Program Insentif MyPKNS di Kompleks PKNS Shah Alam.
Noraida (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi Pejabat Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek (dua dari kanan), Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah PKNS, Azmi Adnan (dua dari kiri) melancarkan Program Insentif MyPKNS di Kompleks PKNS Shah Alam.
Icka S Hassan

Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan penjualan sebanyak 44 unit hartanah bernilai RM12 juta menerusi pameran Koleksi Hartanah di Plaza PKNS.

Pengurus Jualan Hartanah Wilayah Tengah PKNS Mohd Wazir Abdul Gani berkata, pameran sempena ulang tahun PKNS ke-53 itu berlangsung selama 10 hari bermula Jumaat lalu.

“Objektif utama pameran itu bertujuan memberi pendedahan dan informasi terkini kepada pengunjung mengenai projek hartanah serta komersial PKNS.

“Produk yang ditawarkan antaranya Anggun 1 & 2 Alam Nusantara di Setia Alam, Vega Residensi di Cyberjaya, Citrina 2 & 3 di Bernam Jaya, Opal Residensi di Shah Alam dan Puteri Daffina 2 di Kota Puteri,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Insentif MyPKNS dan pameran itu, kelmarin.

Ia dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Noraida Mohd Yusof.

Kata Mohd Wazir, pameran koleksi kali ini turut memberi peluang kepada pembeli yang menyasarkan hartanah di kawasan luar Lembah Klang.

“Berikutan menerima pelbagai maklum balas bagi memajukan projek di luar Lembah Klang hampir 60 peratus projek dibangunkan iaitu di kawasan Antara Gapi, Ijok, Klang dan Kuala Selangor,” katanya.

Sementara itu, pengunjung, Kamaruddin Mohamad, 54, berkata pengalaman hampir 15 tahun menjadi pelanggan PKNS ternyata tidak merugikan kerana syarikat berkenaan sentiasa memberikan perkhidmatan dan hartanah yang bagus serta berkualiti.

“Dalam tempoh merancang hingga proses pembelian, mereka sentiasa memberi informasi dan memastikan kami sebagai pelanggan memahami setiap kekurangan serta kelebihan yang diberikan.

“Tidak semua syarikat hartanah melakukannya dan saya menjadi lebih yakin untuk mencari atau menambah lagi hartanah di bawah seliaan PKNS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 8:33 AM