Oleh Nor Hairulnizam Wahid


BERMULA dengan produk minuman seperti Godzilla Cup dan ice blended di Sungai Petani, Kedah, kini Big Tas' Tea Cafe semakin mendapat sambutan dengan pembukaan lebih banyak rangkaian restorannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Big Tas'Tea Cafe, Suriati Ismail berkata, kini mereka turut menawarkan aneka pilihan makanan barat dan Asia antaranya hidangan berasaskan ayam, pasta, pencuci mulut, muffin dan nasi kukus.

Jelasnya, semua menu adalah seragam untuk setiap restoran di mana pihaknya sentiasa menjaga kualiti dan persembahan setiap produk yang ditawarkan kepada pelanggan.

"Sehingga kini, kami memiliki 19 cawangan, membabitkan 16 restoran dan tiga kiosk minuman antaranya di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Terengganu.

"Daripada 16 cawangan restoran, 12 daripadanya diusahakan rakan niaga kami manakala empat lagi diusahakan sendiri," katanya yang turut mempunyai restoran dan kios di Kuala Lumpur, Selangor, Perlis dan Kelantan.

Big Tas'Tea Cafe yang beroperasi sejak 2015 diperbadankan setahun kemudian dengan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) sebelum menaik taraf perniagaan mereka daripada enterpris kepada sendirian berhad pada 2020.

"Kami berterima kasih kepada Pernas (Perbadanan Nasional Berhad) kerana kami juga bermula dengan mengikuti program Pernas pada 2016 kerana ingin tahu bagaimana untuk membesarkan perniagaan," katanya.

Katanya, pihaknya berhasrat mengembangkan operasi ke peringkat global.

"Kami ingin meneroka pasaran global dan dalam jangka masa panjang membuka 150 cawangan seluruh negara tetapi apa yang penting, kami mahu pelanggan berpuas hati dengan jenama kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 7:00 AM