SURIANTI (kanan) dan Kamaruzzaman menunjukkan  rangkaian produk pembersihan jenama Suri.
SURIANTI (kanan) dan Kamaruzzaman menunjukkan rangkaian produk pembersihan jenama Suri.
Nor Hairulnizam Wahid

Kuala Lumpur: Selepas menerima sambutan menggalakkan di Lembah Klang, jenama pencuci pakaian Suri sedia melebarkan sayap ke Pantai Timur dengan sasaran 50 francais menjelang akhir tahun ini.

Pengasasnya, Surianti Sobri berkata, ketika ini pihaknya memiliki 21 francaisi di Lembah Klang, Kedah, Perak dan Johor.

"Setakat ini memang ada pihak berminat menyertai francais bersama dan kami harap ia dapat direalisasikan dengan pembukaan francais di Pahang November ini," katanya.

Suri dikenali dengan rangkaian produk pembersihan antaranya pencuci lantai, pencuci pinggan, pewangi lantai, peluntur dan pencuci serbaguna yang diusahakan sejak 2015.

"Produk pencuci pakaian Suri hanya dipasarkan sejak 2020 selepas mendapat permintaan pelanggan dan kami mengedarkannya melalui ejen," katanya.

Sebelum ini menurutnya, produk Suri pernah dipasarkan di Malakat Mall namun menukar strategi pemasaran berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Menerusi bimbingan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) sejak September tahun lalu, kami menawarkan pakej francais untuk membuka kedai menjual produk di bawah jenama Suri," katanya yang menjalankan perniagaan bersama rakan niaga, Kamaruzzaman Omar@Abu Bakar.

Sejak diperkenalkan, Surianti berkata, pencuci pakaian Suri mendapat testimoni positif daripada pelanggan yang rata-ratanya memuji keharuman dan keberkesanan produk berkenaan.

"Keharuman jenama Suri adalah nilai tambah yang kami berikan kepada produk yang dihasilkan di kilang sendiri," katanya.

Enam haruman itu adalah Suri Downy Pink, Suri Lavender, Suri Magical Yellow, Suri Deep Fresh Green, Suri Blue Downy dan Suri Blossom Red.

Menurutnya, sejak bekerjasama dengan Pernas, agensi itu banyak memberi peluang kepada pihaknya dari segi peluang pemasaran, peluang perniagaan serta bimbingan untuk menjalankan perniagaan secara francais.

"Sebelum ini juga kami pernah bersama-sama Pernas dengan kerjasama MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan Pusat Pungutan Zakat Kuala Lumpur sebagai francaisor kepada usahawan asnaf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 7:01 AM