PERSEKITARAN kerja yang fleksibel meningkatkan produktiviti dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain mengubah perbelanjaan pengguna secara geografi apabila orang ramai akan lebih berbelanja berdekatan kediaman masing-masing yang sekali gus membantu perniagaan kecil dan mempelbagaikan pertumbuhan ekonomi.

Pemikir dan Penyelidik Reka Bentuk Dr Jesrina Ann berkata, berdasarkan penyelidikan dalam kalangan PKS di Kuala Lumpur, persekitaran kerja fleksibel terbukti meningkatkan produktiviti kerana ia mengurangkan ketidakhadiran, ketiadaan dan penggunaan cuti sakit.

Produktiviti lebih tinggi menyebabkan penjimatan dalam kos marginal, kemudiannya ia boleh dilaburkan untuk penyelidikan dan pembangunan yang seterusnya akan meningkatkan kualiti barangan dan perkhidmatan, katanya dalam program bual bicara The Brief Bernama TV, baru-baru ini.

Beliau berkata, waktu fleksibel membawa kepada perubahan dalam perbelanjaan pengguna, menyaksikan orang ramai mula meluangkan lebih banyak masa berdekatan kediaman masing-masing dan dapat mewujudkan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan daripada perniagaan kecil tempatan.

Dan secara geografinya, ia dapat menyebar luas perbelanjaan dan mempelbagaikan pertumbuhan ekonomi, jelas beliau.

Menurut Dr Jesrina, penyelidikan dilakukannya adalah melalui ideologi pemikiran reka bentuk menjiwai pekerja serta mengenal pasti cabaran kembali ke pejabat (RTO) dan situasi selepas bekerja dari rumah (WFH) yang berlaku semasa sekatan pergerakan Covid-19 mempunyai kelebihan dan kelemahan.

Beliau berkata, antara cabaran RTO ialah kekurangan sempadan kerja yang menjurus kepada kemerosotan dalam keseimbangan kerja/kehidupan dan keletihan mental dan fizikal kerana pekerja perlu melakukan perjalanan ke pejabat.

Pengurus juga mendapati sukar untuk mengurus keberkesanan aliran kerja kerana sesetengah pekerja bekerja dari rumah dan yang lain di pejabat, manakala terdapat kekurangan yang jelas dalam semangat kakitangan yang mengurangkan produktiviti.

Beliau berkata, beberapa penyelesaian mengikut ideologi pemikiran reka bentuk untuk PKS yang berfungsi dengan baik ialah gabungan waktu kerja yang fleksibel, di samping penggunaan aplikasi seperti Waze atau Google Maps yang menjimatkan masa perjalanan yang ketara yakni pergi dan balik pejabat.

"Ini boleh dicapai jika pemilik perniagaan sedia membenarkan pekerja masuk atau keluar pada masa yang fleksibel," katanya.

Untuk mengurus produktiviti dan aliran kerja, "kami menguji idea kerja empat hari di pejabat dan satu hari WFH, yang berfungsi dengan baik dengan penggunaan aplikasi seperti Evernote, Toggl Plan atau Todoist kerana aplikasi ini membantu dalam perancangan, senarai semak, peringatan dan juga pengesanan projek."

Idea untuk menggalakkan ucapan terima kasih disuarakan dalam kalangan rakan sepasukan dan bukannya menganggap organisasi sebagai tempat transaksi juga meningkatkan lagi semangat serta kesejahteraan pekerja.

Sementara itu, antara kelemahan pula ialah persekitaran kerja yang fleksibel menunjukkan kekurangan aliran pengetahuan dalam kalangan pekerja, terutamanya apabila terdapat keperluan untuk memperoleh kemahiran melalui pembelajaran dengan mempraktikkannya.

Dr Jesrina juga berkata, majikan harus mengambil tahu hakikat bahawa persekitaran kerja yang fleksibel adalah perintis kepada ketangkasan tenaga kerja.

Namun begitu, beliau berkata di Malaysia, masih terdapat percanggahan antara majikan dan pengurusan dan pekerja mereka tentang perkara yang diperlukan untuk persekitaran kerja yang fleksibel, sambil menyatakan terdapat kekurangan mengenai kejelasannya di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 7:00 AM