MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Pengurus Besar Kanan  SJPP,   Chen Yin Heng dan  Pengarah Eksekutif dan Ketua  Perbankan Perniagaan Negara, Raymond Chui, semalam. Turut hadir, Pegawai Utama/Pengarah,  Dr Nungsari Ahmad Radhi (kiri) dan Wong.
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Pengurus Besar Kanan SJPP, Chen Yin Heng dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Perbankan Perniagaan Negara, Raymond Chui, semalam. Turut hadir, Pegawai Utama/Pengarah, Dr Nungsari Ahmad Radhi (kiri) dan Wong.
HM Digital

Kuala Lumpur: United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) menandatangani perjanjian dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) untuk menawarkan pembiayaan terjamin kerajaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

SJPP adalah pentadbir dan pengurus skim jaminan kredit di bawah Kementerian Kewangan dan dalam perjanjian berkenaan, PKS berpeluang mendapat pinjaman bebas cagaran sehingga RM1 juta melalui penyelesaian kewangan SJPP-UOB BizMoney.

Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata, jumlah itu adalah dua kali ganda jumlah yang disediakan kepada pelanggan sedia ada di bawah pakej UOB BizMoney yang mana SJPP akan menjamin sehingga 70 peratus daripada pinjaman melalui Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan.

Katanya, kerjasama dengan SJPP akan membantu PKS mendapat akses kepada pembiayaan tambahan bagi memanfaatkan lebih banyak peluang perniagaan dan juga memenuhi keperluan modal kerja mereka.

“Pengalaman selama enam dekad dalam menyediakan perkhidmatan kepada PKS bermakna kami mempunyai pemahaman mendalam mengenai peluang dan cabaran yang mereka hadapi.

“Menurut penyelidikan kami, lebih separuh daripada PKS di negara ini menjangka akan meningkatkan pendapatan pada 2018, meskipun sebahagian besar daripadanya ingin berkembang ke luar negara.

“Malah, kebanyakan daripada mereka juga merancang untuk melabur dalam infrastruktur teknologi yang dapat mendorong prestasi perniagaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Penyelesaian kewangan SJPP-UOB BizMoney menyediakan tempoh pembayaran balik yang fleksibel, iaitu selama 18, 24, 36, 48 atau 60 bulan, dengan kadar faedah yang bermula dari 0.54 peratus sebulan.

Wong berkata, pihaknya membantu PKS meningkatkan produktiviti supaya mencapai pertumbuhan dalam perniagaan mereka menerusi penyelesaian digital berskala, seperti UOB SmartBusiness.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 10:47 AM