GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


PERNIAGAAN dilihat mampu kekal relevan dan mampan menerusi model kerja fleksibel termasuk manfaat strategi dan ekonomi dasar kerja yang fleksibel.

Menurut hasil Kaji Selidik Ruang Kerja Global (Global Workspace Survey) 2019 oleh International Workplace Group (IWG), bekerja secara fleksibel adalah norma baharu.

Malah, idea bekerja dari meja mahupun pejabat tetap kian menjadi konsep yang lapuk.

Ketua Pengurus IWG Malaysia, Indonesia dan Brunei berkata, bagi beberapa negara seperti Belanda, bekerja secara fleksibel sudah sebati dalam budaya.

“Dalam konteks tempatan, kami juga boleh melihat peningkatan dalam permintaan terhadap pengaturan kerja yang fleksibel dalam kalangan majikan dan pekerja di Malaysia,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Sementara itu, Naib Presiden Penjualan IWG Asean dan Korea Selatan, Lars Wittig berkata, tiada satu saiz yang sesuai untuk semua model dalam menampung cara bekerja.

“Mana-mana individu mahupun perniagaan inginkan kebebasan bagaimana dan di mana mereka mahu bekerja dan itulah erti sebenar bekerja secara fleksibel.

“Sebab utama mengapa kerja dan ruang kerja yang fleksibel saling berkait rapat adalah kerana dapat memberi pilihan buat perniagaan untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, menyesuaikan saiz ruang kerja mereka mengikut pertumbuhan perniagaan, dan menjimatkan kos sewa, sekali gus mengurangkan perbelanjaan modal dan kos operasi,” katanya.

Dengan peralihan global terhadap bekerja secara fleksibel, perniagaan masa kini dituntut menggunakan model kerja yang fleksibel bagi mengelakkan dari risiko ketinggalan dalam dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.

Memanfaatkan kerja jarak jauh dan jadual fleksibel membantu dalam menarik dan mengekalkan bakat sambil meningkatkan produktiviti pekerja dan akhirnya, membawa kepada pertumbuhan perniagaan.

Selain itu, menurut Kaji Selidik JLL Asia-Pacific, bekalan tenaga kerja yang fleksibel meningkat sebanyak 36 peratus, menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar utama yang paling pesat berkembang di rantau Apac.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 7:20 AM