UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise), pemaju hartanah terkemuka di Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama sembilan syarikat tempatan untuk mengukuh, mempromosi dan membentuk hubungan yang utuh di bawah Program Usaha Sama Vendor.

Program usaha sama itu dijangka memupuk sinergi jangka panjang dan menggalakkan kerjasama antara UEM Sunrise dan syarikat yang terbabit dalam bidang pemasaran, penjenamaan dan pembangunan produk.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, program usaha sama ini memberi peluang bekerjasama dengan rakan kongsi dalam masa panjang.

Pihaknya berusaha mencapai sinergi ini sebagai sebahagian daripada pengurusan risiko dalam kenaikan harga dan ketidaktentuan permintaan dan penawaran.

"Kami berharap dapat menambah baik pengurusan kos dan memberi harga terbaik untuk pelanggan kami," katanya.

Menurutnya, UEM Sunrise terus memantau dan memperhalusi rancangan penetapan harga berdasarkan beberapa elemen kos utama selain daripada harga bahan binaan, di samping ketidaktentuan pasaran.

Syarikat berharap program usaha sama jangka panjang bersama vendor ini menjadi penyelesaian dalam menangani peningkatan kos dalam pasaran.

Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak memanfaatkan platform pemasaran masing-masing untuk merentas pasaran dan meningkatkan kesedaran jenama.

Selain itu, ia inovasi untuk memberi peluang kepada UEM Sunrise dan syarikat terbabit menerokai produk dan perkhidmatan bagi meningkatkan pembangunan reka bentuk.

Antara syarikat terbabit adalah Guocera Sdn Bhd, salah satu pengeluar dan pengeksport jubin terbesar di Malaysia, Bofi (Malaysia) Sdn Bhd, Innocera Marketing Sdn Bhd, Electrolux Malaysia Sdn Bhd, dan Panasonic Malaysia Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 7:10 AM