UEM Sunrise Bhd, pemaju hartanah terkemuka di Malaysia masih mengekalkan harga produk hartanahnya tahun ini, walaupun berdepan peningkatan kos bahan binaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sufian Abdullah berkata, UEM Sunrise menggunakan proses tender secara strategik bagi mengatasi risiko kenaikan harga bahan binaan pada masa ini.

Katanya, syarikat berkenaan juga masih mampu menyerap kenaikan kos terbabit dan kekal menawarkan harga hartanah seperti sedia ada.

"Kami sedang mengusahakan strategi pemerolehan dan pengurusan risiko yang berkesan bagi membolehkan rakan kongsi, pembekal, vendor dan kontraktor kami dapat menanggung sejumlah besar risiko dan pengurusan kos pengeluaran.

"Isu kenaikan kos bahan binaan dihadapi di seluruh dunia dan cara kami mengatasi risiko kenaikan itu adalah dengan melaksanakan proses tender secara strategik termasuk menganjurkan program pembangunan dengan vendor terpilih.

"Kami akan memaklumkan mengenai berapa banyak permintaan kami untuk bahan binaan terutama bagi tempoh jangka panjang lima tahun akan datang.

"Ini membolehkan vendor melakukan anggaran atau menentukan jumlah bekalan yang diperlukan dan kami berharap untuk mendapatkan had harga yang sesuai bagi bahan binaan yang diperoleh itu nanti," katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman prestasi kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2022 UEM Sunrise secara maya, di sini, semalam.

Di samping itu, Sufian berkata, pihaknya juga sedang memantau dinamik ekonomi dan perkembangan global yang boleh memberi kesan kepada kos pembinaan terbabit.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya, beliau berkata kumpulan itu masih menjangkakan prestasi tahun kewangan 2022 yang positif berikutan jualan belum dibil bernilai RM2.2 bilion.

"Kami juga menyasarkan jualan sebanyak RM1.5 bilion dan melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.3 bilion untuk tahun ini," katanya.

Uem Sunrise kembali mencatat keuntungan pada suku dikaji apabila merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM19.02 juta berbanding kerugian RM4.3 juta pada suku sama tahun lalu.

Pendapatannya meningkat 65 peratus kepada RM417 juta bagi tahun ke tahun.

Ia disokong terutamanya oleh aktiviti pembangunan hartanah tempatan dan penjualan 19 plot perindustrian dalam fasa tiga Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan di Iskandar Puteri, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 7:01 AM