PERTUMBUHAN peniaga dari luar bandar dan OKU guna Shopee semakin meningkat.
PERTUMBUHAN peniaga dari luar bandar dan OKU guna Shopee semakin meningkat.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Shopee Malaysia akan terus memperkasakan platform e-dagangnya dengan memastikan ia mudah diakses oleh semua golongan termasuk golongan orang kelainan upaya (OKU) dan di luar bandar.

Ketua Kempen Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, pihaknya juga melihat pertumbuhan peniaga dari luar bandar dan OKU semakin meningkat.

Katanya, peniaga daripada dua kelompok ini juga sudah banyak memilih berniaga secara dalam talian dan mampu menjalankan perniagaan serta berkembang sama seperti yang lain.

"Di Shopee, platform kami turut menjadi pilihan kepada peniaga dari luar bandar dan OKU. Mereka cuba untuk kembangkan perniagaan sedia ada.

"Kami sentiasa memberi sokongan kepada kumpulan ini melalui inisiatif sokongan komuniti tempatan Shopee dengan membantu mereka meningkatkan perniagaan.

"Shopee turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerusi program Pupuk di mana kami melatih 100 peniaga dari luar bandar dan ada daripada mereka yang menjadi peniaga berjaya.

"Memandangkan Shopee sentiasa mengguna pakai teknologi untuk melayan pelanggan serta membantu peniaga, justeru kami akan pastikan platform Shopee dapat digunapakai oleh semua segmen demografi," katanya di Forum Maya bertajuk 'Pasaran: Ke Arah Ekonomi yang Lebih Inklusif dan Berpenyertaan', semalam.

Hadir sama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dan Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Soh berkata, jumlah peniaga luar bandar di Malaysia yang menjual di platform Shopee meningkat sebanyak 7.5 kali ganda sejak Januari 2020.

"Perniagaan mereka juga berkembang lebih 150 peratus yang disumbangkan oleh peningkatan keterlihatan (view) dan kadar trafik dalam platform serta rantaian bekalan kami yang berupaya mengambil bungkusan di tempat mereka," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut melaksanakan pelbagai inisiatif yang antara lain memudahkan peniaga untuk mendaftar ke dalam platformnya tanpa memerlukan kos permulaan yang tinggi.

Disamping itu Soh berkata, Shopee juga melancarkan Shopee University yang setakat ini sudah melatih lebih 148,000 peniaganya mengenai literasi digital secara percuma.

"Teknologi memainkan peranan yang amat penting dan ia kini menjadi utiliti untuk semua pihak sama ada yang tinggal di bandar atau luar bandar.

"Kami sentiasa memberi sokongan kepada kumpulan ini melalui inisiatif sokongan komuniti tempatan Shopee dengan membantu mereka meningkatkan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 7:01 AM