ZED Li (dua dari kanan) ketika Kempen Beli Barangan Malaysia dalam talian bersama pengendali platform e-dagang Shopee. Foto Bernama
ZED Li (dua dari kanan) ketika Kempen Beli Barangan Malaysia dalam talian bersama pengendali platform e-dagang Shopee. Foto Bernama
Sri Ayu Kartika Amri


SHOPEE Malaysia menjalin kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menggalakkan pembelian produk buatan Malaysia dalam talian.

Ketua Perniagaan Shopee Malaysia, Zed Li berkata, bagi membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka, Shopee telah menghasilkan halaman koleksi khusus Beli Barangan Malaysia di platform itu.

Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 2,300 unit simpanan stok (sku) produk tempatan yang dijual di Shopee daripada 130 penjual.

“Shopee komited memperkasa jenama Malaysia serta merangsang ekonomi tempatan dan berharap lebih ramai peniaga tempatan akan menggunakan platform Shopee untuk memasarkan produk mereka.

“Kami juga memberi komitmen untuk mengetengahkan koleksi Beli Barangan Malaysia untuk acara membeli-belah mega akhir tahun yang akan datang termasuk kempen global 11.11 dan kempen 12.12.

“Ini adalah untuk memastikan penjual produk buatan Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan trafik dan kegiatan membeli-belah dalam talian untuk tempoh terbabit,” katanya kepada media di majlis pelancaran kempen Beli Barangan Malaysia dan Brand Festival 10.10 Shopee di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir merasmikan, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Zed berkata, Shopee juga telah membantu dan melengkapkan kira-kira 6,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penjual dengan ilmu jual beli termasuk pemasaran e-dagang menerusi bengkel yang dijalankan.

Menurutnya, bagi mencerminkan komitmen Shopee, koleksi Beli Barangan Malaysia akan dipaparkan bersama jenama terkemuka yang menjalankan Super Brand Days sempena 10.10 Brands Festival.

“Setiap jenama akan mendapat sokongan khusus daripada Shopee untuk meningkatkan pembabitan pengguna, seperti ciri-ciri permainan dan pengambilalihan jenama di dalam aplikasi,” katanya.

Beliau berkata, selain itu pihaknya akan memperkenalkan inisiatif Shopee International Platform (SIP) yang membolehkan penjual tempatan mengembangkan sayap perniagaan ke luar negara dengan inisiatif rentas sempadan serba lengkap.

“Inisiatif ini menawarkan pelbagai kemudahan logistik, pembayaran dan perkhidmatan pelanggan kepada penjual tempatan tanpa sebarang kos tambahan yang akan diperkenalkan tidak lama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 8:08 PM