PEDAS  terus komited membantu usahawan PKS.
PEDAS terus komited membantu usahawan PKS.

PERKHIDMATAN e-dagang Setempat (PeDAS) anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) terus komited membantu usahawan di luar bandar apabila berjaya melatih 3,150 usahawan, setakat November tahun lalu.

  Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, sejak dilancarkan dua tahun lalu, PeDAS kini mempunyai 32 pusat di seluruh negara.  

  "Selari hasrat kerajaan memastikan kemakmuran bersama dinikmati pelbagai lapisan rakyat, inisiatif ekonomi digital dilaksanakan MDEC turut memberi fokus kepada usahawan di luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian (online).

  "Program PeDAS yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) ini menyelesaikan masalah kekurangan akses kepada pengetahuan dan panduan untuk mengembangkan perniagaan secara online yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro di luar bandar.

  "Mereka diajar memahami kebolehpasaran produk, memberi khidmat dalam strategi penjenamaan dan penggunaan e-dagang supaya lebih berdaya saing di peringkat tempatan dan seterusnya rentas sempadan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

  Menurutnya, melalui program PeDAS itu, ada usahawan di pedalaman bimbingan MDEC yang meraih jualan sehingga RM60,000 sebulan.

   Selain itu, Surina berkata, pengurus di Pusat Pusat Internet Desa (PID) yang dilatih MDEC melalui program eUsahawan, memainkan peranan penting sebagai tenaga pengajar dan penasihat kepada PKS mikro serta membantu mereka memasarkan produk mereka di platform e-dagang.

Katanya, pengurus di Pusat PID juga menganjurkan kelas latihan berkaitan e-dagang dan keusahawanan digital bagi memanfaatkan komuniti tempatan.

  Kerjasama dengan pihak industri dijalinkan bersama Shopee Malaysia dan Pos Malaysia Berhad untuk memperkasa program PeDAS, apabila pengurus PID diberi latihan tambahan oleh pemain industri ini untuk belajar kaedah usahawan mikro boleh memasarkan produk mereka di platform e-dagang Shopee dan cara menggunakan perkhidmatan logistik e-dagang oleh Pos Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 7:00 AM