RINA (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen di antara Ahmad Shah Wahid (tiga dari kiri) dan Li, semalam.
RINA (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen di antara Ahmad Shah Wahid (tiga dari kiri) dan Li, semalam.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan inisiatif Desaauto@KPLB dapat membantu lebih 200 usahawan luar bandar memperluaskan pemasaran produk automotif dalam dan luar negara.

Desaauto@KPLB yang dilaksanakan dengan platform e-dagang, Shopee akan menjadi pusat sehenti bagi mempromosi dan menjual produk automotif seperti tayar, alat ganti dan minyak yang dikilang atau diedarkan usahawan luar bandar

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sebelum ini kementeriannya melancarkan Desamall@KPLB yang memberi tumpuan kepada penjualan keperluan asas daripada makanan hingga ke produk penjagaan diri.

Katanya, berdasarkan sambutan luar biasa diterima untuk produk automotif, KPLB melihat ia peluang dan melancarkan Desaauto@KPLB dengan Shopee.

“Desamall@KPLB dan Desaauto@KPLB di Shopee adalah dua inisiatif KPLB yang akan melaksanakan agenda pemerkasaan usahawan luar bandar.

“Usaha ini memberi peluang kepada usahawan luar bandar untuk menjangkaui pelanggan berpotensi seluruh negara dan luar negara melalui Shopee.

“Sebagai permulaan, 100 produk boleh didapati di kedai rasmi di platform e-dagang itu,” katanya pada majlis pelancaran Desaauto@KPLB di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengurusan Jualan Shopee Malaysia, Zed Li dan Ketua Pegawai Eksekutif Elokal, Ahmad Shah Wahid.

Rina berkata, kementerian memperkenalkan Program Desa Pintar di mana perkhidmatan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi dapat disediakan di 191 Pusat Komuniti Desa.

“Ini membantu usahawan luar bandar mengguna pakai kemudahan Internet bagi mengakses platform Desamall dan Desaauto,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap insiatif itu menjadi sebahagian usaha merealisasikan 5,000 usahawan luar bandar yang baru.

Menurutnya, kementerian menyediakan dasar dan perancangan yang strategik berteraskan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 dan yakin perkara terbabit mampu dilaksanakan dengan cemerlang,” katanya.

Shopee mengumumkan Jualan Ulang Tahun Shopee 12.12 yang akan berlangsung dari 28 November hingga 12 Disember ini.

Antaranya, tawaran harian RM12, penghantaran percuma dengan belanja minimum RM12 dan 12 juta Shopee Coins untuk dimenangi di Shopee Catch.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 6:35 AM